Allahyarham Pyanhabib selamat dikebumikan

JENAZAH penyair dan pelakon Pyanhabib Rahman, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat kira-kira pukul 11. 25 pagi tadi.

Pengebumian Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan selebriti.

Antara rakan artis yang dilihat hadir adalah Datuk M Nasir, Uji Rashid, Farid Kamil, Amerul Affendi dan Datuk Tarmimi Siregar.

Terdahulu, jenazah selamat disembahyangkan di Masjid As-Sobihin, Lembah Keramat.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di kediamannya di AU4 Keramat, pukul 9.30 malam tadi.

Semasa hayatnya, Pyanhabib aktif dengan penulisan puisi dan sastera sejak 1970-an menerusi terbitan akhbar dan Dewan Sastera.

Pyanhabib kemudian menghasilkan beberapa buku terbitan sendiri iaitu Suara dan Saraf Dukaku, manakala pada 2015 Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Balada Pyanhabib, sebuah koleksi lengkap puisi beliau.

Terdahulu Pyanhabib menyertai Utusan Melayu pada 1983 sebagai Pengarang Mastika sebelum bertukar ke jabatan pengarang Utusan sebagai penyunting sehingga 2000.

Beliau kemudian terlibat dalam bidang lakonan bersama Datuk M.Nasir dan Nasir Jani menerusi filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Pyanhabib juga pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik ketika Festival Filem Malaysia ke-7.

Antara naskhah lain lakonan beliau ialah One Cent Thief, Tak Kisahlah Beb, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok