Allahyarham Pyanhabib bawa suara, denyut nadi rakyat – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelakon dan penyair, Allahyarham Pyanhabib yang menghembuskan nafas terakhir pukul 9.30 malam tadi.

Anwar berkata, beliau pasti akan mengenang setiap karya Allahyarham yang sentiasa membawa suara dan denyut nadi rakyat.

“Terima khabar duka penyair dan seniman Pyanhabib atau Osman Tikus telah kembali ke rahmatullah.

“Pengorbanan serta perjuangan Allahyarham akan tersemat utuh buat selamanya,” katanya menerusi Facebook.

Menerusi perkongsian sama, Anwar turut mendoakan keluarga seniman kelahiran Taiping, Perak itu tabah menghadapi dugaan.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Pyanhabib atau Mohd. Supyan Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang.

Berita pemergian Allahyarham Pyanhabib dikongsikan isterinya, Zurina Zakaria di laman Facebook malam tadi.

Aktivis yang aktif menulis dan deklamator sejak 1976 bersama Anak Alam itu mencetuskan fenomena dengan puisi sentuhannya.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Beliau yang turut aktif dalam teater dan lakonan filem, selain menulis beberapa buah buku baru sahaja seminggu meraikan ulang tahun yang ke-66 pada 27 Mei lalu.

Tahun lalu, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Pyanhabib juga pernah membintangi filem Kembara Seniman Jalanan, Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb, Mat Som, Rock Oo!, Apokalips X, dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

Beliau pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali berjudul Tsu Feh Sofiah, namun menolak penganugerahan tersebut di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-7.

Pyanhabib dikatakan terkilan kerana tidak dipertandingkan menerusi Kembara Seniman Jalanan sekali gus menjadikan satu-satunya pelakon yang menolak pengiktirafan dalam industri filem di negara ini tanah air sehingga kini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak iaitu Najihah Mohd Supyan, 31, serta Ahmad Ashmand Farabi Mohd Supyan, 28 tahun.

Jenazah akan dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada pukul 9 pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pukul 10 pagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok