Alan Walker sedia takluk Malaysia

NAMA Alan Walker tidak memerlukan mukadimah, terutama bagi penggemar Electronic Dance Music (EDM) sebaik lagunya, Faded menakluk carta global dan meraih pelbagai anugerah sekitar 2015.

Hampir sedekad memperjuangkan genre tersebut, pemuzik dan juga produser asal Norway itu terus memancing perhatian dengan deretan seleksi gubahan sendiri.

Profil figura berusia 27 tahun yang terkenal dengan rentak menakjubkan dalam setiap trek membuka mata ramai pencinta EDM untuk menjadi pengikut tegarnya.

ALAN Walker singgah di Malaysia dan menggegarkan pentas bersama Robin Packalen, Sofiloud serta Putri Ariani.

Bukan sekadar 10 juta pengikut Instagram, menerusi platform digital, katalog lagunya diikuti lebih 125 juta pendengar yang menjadi bukti impak sentuhan muziknya.

Selepas beraksi di seluruh Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, Walker bakal singgah di Asia Tenggara menerusi siri jelajah Walkerworld Tour 2024.

Selain Indonesia dan Singapura, DJ yang mencetuskan fenomena global itu turut singgah di Kuala Lumpur bagi mempromosikan persembahan mega yang bakal diadakan pada 22 Jun ini.

Kental dengan identiti memakai pelitup muka, pemuzik tinggi lampai itu cukup teruja berkongsi cerita mengenai persembahan di Surf Beach Sunway Lagoon nanti.

ALAN WALKER terharu menerima lebih 50,000 mesej dalam tempoh lapan jam selepas berkongsi nombor telefon.

“Pastinya saya tidak sabar beraksi di sini apatah lagi ramai peminat Malaysia yang memberikan maklum balas memberangsangkan menerusi media sosial.

“Dari situ saya tahu EDM mempunyai kelompok peminat tegar yang ramai di Kuala Lumpur, sekali gus saya berharap dapat menghimpunkan semua penggemar tegar genre ini.

“Melihat sambutan pada hari ini, saya pasti ramai yang enggan melepaskan peluang berkumpul di Sunway Surf Beach nanti,” katanya ketika ditemui selepas sidang media, baru-baru ini.

Penerima trofi Lagu Terbaik menerusi Faded dalam BRIT Awards itu juga mengakui kesempatan bertemu peminat dari seluruh pelosok dunia juga membolehkannya berkongsi idea.

Menurutnya, jelajah tersebut membawanya berjumpa ramai kelompok individu yang sangat menghargai karya seni, termasuk EDM.

PELITUP muka sekadar identiti Alan Walker di atas pentas sejak muncul dengan lagu Faded.

“Pengalaman berkunjung dari satu negara ke negara lain sangat indah, memupuk persefahaman dan membolehkan saya belajar budaya, seni masyarakat setempat.

“Macam Malaysia, negara ini sangat cantik selain mempunyai kepelbagaian budaya, cuma saya belum sempat jelajah banyak tempat.

“Mungkin selepas siri konsert disempurnakan saya dapat kembali ke sini untuk bercuti kerana saya dimaklumkan banyak tempat menarik, makanan pun sedap,” ujarnya tertawa.

Bibirnya juga tidak lekang memuji keindahan Kuala Lumpur dengan banyak bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok