Ahmed Mohsein nama anak Sharifah Amani

PENANTIAN aktres Sharifah Amani dan suami berakhir apabila cahaya mata sulung mereka selamat dilahirkan pada 26 Jun lalu.

Khabar gembira tersebut dimaklumkan suaminya, Ahmed Faris Amir menerusi Instagram apabila berkongsi nama bayi comel mereka itu.

Assalamualaikum, kenalkan anak lelaki kami Ahmed Mohsein Ahmed Faris yang dilahirkan pada 26 Jun 2024,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat itu turut memaklumkan isteri dan anak mereka berada dalam keadaan sihat.

Faris turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang mendoakan kesejahteraan keluarganya.

Alhamdulillah, ibu dan bayi berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Terima kasih semua yang telah mendoakan,” jelasnya lagi.

Menjengah ruangan komen, ramai rakan selebriti turut berkongsi kegembiraan tersebut.

“Hi Mohsein junior,” ujar pelakon Syafie Naswip.

“Masya-Allah alhamdulillah. Tahniah dan assalamulaikum ‘baby’ Mohsein. Saya tidak sabar untuk berjumpa awak,” tulis pelakon Daiyan Trisha.

Sebelum ini, pemilik nama lengkap Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 38, berkongsi berita gembira dirinya sudah berbadan dua selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.

Amani dan Faris, 40, mendirikan rumah tangga pada 10 September 2022 dalam sebuah majlis tertutup di Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok