Afieq Shazwan trauma bercinta, belum rancang kahwin

SIAPA sangka kehidupan seorang selebriti yang dianggap serba indah, hakikatnya tersimpan 1001 rahsia yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan khalayak.

Biarpun sudah lama berkecimpung dalam arena hiburan, pelakon juga penyanyi, Afieq Shazwan tidak segan berkongsi detik hitam sepanjang bergelar anak seni.

Jejaka kelahiran Klang, Selangor itu mengakui pernah berputus asa suatu ketika dahulu apabila tiada tawaran lakonan mahupun nyanyian.

Nama pernah disingkirkan daripada projek lakonan disebabkan aset wajah ‘baby face’, Afieq tidak hiraukan kata-kata netizen.

Saya pernah lalui fasa putus asa apabila ketika itu dalam poket hanya tinggal RM3.

“Ketika itu umur saya 19 tahun, saya tinggal dengan keluarga kecil dan dibesarkan nenek.

Ketika itu tiada siapa yang tanggung saya belajar, jadi saya kena usaha sendiri. Alhamdulillah sekarang saya sudah habis belajar,” kongsinya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Afieq yang memiliki Diploma Perniagaan dari Management and Science University (MSU) sanggup mengikat perut untuk membiayai yuran pengajiannya.

“Bermula umur 19 tahun, saya hanya menyepi dan waktu itu saya ambil keputusan untuk sambung belajar.

“Umur 19, 20 dan 21 amat sukar bagi seorang Afieq Shazwan, sebab duit poket yang saya kumpul selama ini digunakan untuk pengajian.

“Tentang duit makan ketika itu saya tak banyak pun berbelanja, sebab fikir bayar kos belajar,” katanya lagi.

Trauma bercinta

Pemilik nama lengkap Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, itu juga mengakui trauma dengan pengalaman yang dilalui dalam percintaan.

Situasi tersebut menjadikan dirinya lebih berhati-hati jika hendak menjalin hubungan baharu setelah beberapa kali sasaran untuk berkahwin tidak kesampaian.

Anak kelahiran Klang itu mengakui pernah berputus asa untuk berada dalam industri apabila tiada tawaran dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.

“Buat masa sekarang tiada lagi rancangan untuk berkahwin. Saya ambil masa dulu.

Saya akan anggap berkawan sahaja mana-mana perempuan yang datang pun, tiada niat mahu berlebih.

“Berita-berita kemelut rumah tangga artis juga cukup buat saya jadi takut, takut tersalah jejak langkah,” ujarnya.

Mengenai cinta lalu, bekas peserta musim pertama program realiti, Idola Kecil itu berkata hubungan dengan penyanyi, Wani Kayrie masih baik sahaja sebagai kawan walaupun gagal dalam percintaan.

Hubungan saya dengan Wani okey sahaja, saya pun dan ‘move on’ dan terima kenyataan.

“Saya selalu pegang kata-kata emak saya, apabila menjadi artis kena sentiasa beringat. Alhamdulillah emak saya pun tak menekan saya untuk berkahwin cepat.

“Cuma saya harap umur 30 tahun itu limit untuk saya menjadi seorang lelaki bujang,” katanya.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok