Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itu pepatah tepat ditujukan kepada anak pelakon Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana yang mengikut jejak langkah ibunya terbabit dalam industri hiburan.
Bakat anak bongsu Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta itu ditunjukkan dengan menjadi pengacara jemputan Nona bergandingan bersama aktres Amyra Rosli.
Kata Che Ta, anak daranya sendiri yang beria-ia mahu menggalas tugas sebagai hos program popular terbabit apabila sedia menerima tawaran diajukan produksi.
“Semasa dapat tawaran Nona, kami cakap nak tanya Aaisyah dulu, kalau dia tidak berminat susah dia merentan pula di set.
Mummy bukannya rajin sangat duduk di set. Daddy dia pula tidak bagi kalau kacau hari sekolah. Tetapi Aaisyah sendiri tergedik-gedik mahu. Mummy setuju sahaja,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu turut terkejut melihat personaliti Aaisyah di set penggambaran yang sangat matang.
“Cara duduk macam tiga musim jadi pengacara. Sakan yang ini pun.
Tak sangka dia berkelakuan baik di set. Rupanya, besar sudah ada dara kami,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Aaisyah dilihat tidak kekok berada di hadapan kamera melakukan kandungan media sosial bersama ibu bapanya walaupun usianya masih kecil.
Sekadar info, Aaisyah merupakan anak hasil perkongsian hidup Che Ta dengan aktor Zain Saidin selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. -HIBGLAM