5 bintang K-pop graduan universiti berprestij

SIAPA kata untuk menjadi artis hanya perlu menjual rupa dan bakat semata-mata?

Ramai beranggapan selebriti tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam akademik dan mampu hidup serba mewah menerusi kerjaya  seni yang diceburi. 

Namun, hakikatnya ramai personaliti popular Korea Selatan sangat mementingkan pendidikan sehingga sanggup membahagikan masa antara kerjaya dan menghadiri kuliah di universiti.

 Daebak hari ini menyenaraikan beberapa bintang K-pop yang berjaya menyambung pengajian di universiti berprestij di Amerika Syarikat sekali gus layak diangkat sebagai idola.

pH-1

RAPPER pH-1 merupakan lulusan jususan biologi Kolej Boston.

Usai tamat pengajian, beliau memulakan kerjaya sebagai  pembantu doktor gigi.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Park Jun-woo, 34, itu merasakan kerjaya muzik di Korea Selatan lebih sesuai buat dirinya.

Pada 2016, dia melancarkan single sulung berjudul Wavy sehingga berjaya menarik perhatian peminat dengan kesenian yang unik.

Eric Nam

PENYANYI dan personaliti televisyen, Eric Nam memutuskan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang muzik selepas menamatkan pengajian di Kolej Boston. 

Dia merupakan graduan pengajian antarabangsa dan minor dalam pengajian Asia.

Selepas tamat belajar pada 2011, Eric bekerja di firma perundingan dan dilamar sebuah syarikat rakaman.  

Anak jati Amerika Syarikat itu akhirnya memilih dunia muzik selain menguruskan syarikatnya, The Eric Nam Company.

Dia juga membantu keluarganya menggerakkan saluran podcast popular iaitu Dive Studios.

Chloe

PENYANYI Chloe memulakan kerjaya seni dengan menyertai kumpulan Cignature pada 2021.

Sejak itu peminat mula mengambil tahu hal privasinya dan terkejut apabila mendapati dia merupakan pelajar berdedikasi di University Of Michigan dalam jurusan sains.

Pada masa sama, Chloe bekerja keras sebagai ahli Cignature dan melancarkan album mini Dear Diary Moment pada 2021.

Dia mungkin baharu dalam bidang muzik tetapi punya masa depan yang cerah untuk mencipta nama sebagai bintang terkenal. 

AJ

PADA 2012, penyanyi AJ mengambil keputusan untuk berehat daripada kumpulan U-KISS kerana mahu fokus pengajiannya di Universiti Columbia.

AJ merupakan pelajar jurusan psikologi dan lulus dengan cemerlang.

Dia kemudian menyertai semula industri K-Pop sebagai artis solo pada 2017.

Meskipun namanya tidak sepopular bintang lain, dia masih menaruh harapan besar dalam perjuangan muziknya.

Tablo

KETUA kumpulan Epik High, Tablo merupakan mahasiswa pintar di Universiti Stanford.

Dalam tempoh empat tahun, dia memperoleh ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dari institusi tersebut iaitu pada 2002.

Tablo atau nama sebenarnya Lee Seon-woong mengambil jurusan kesusasteraan Inggeris dan penulisan kreatif.

Pengajian tersebut digunakan dalam kerjaya muziknya yang meledak di arena seni antarabangsa. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok