2 tahun, Westlife sempurnakan 119 konsert

KUMPULAN popular asal Ireland, Westlife merealisasikan 119 konsert dalam tempoh dua tahun menerusi siri jelajah dunia Westlife The Hits Tour.

Perkara tersebut dikongsikan ketika beraksi di Arena of Stars, Genting Highliands, bersaksikan lebih 5,000 penonton yang memenuhi dewan utama di pusat peranginan tanah tinggi itu, semalam.

“Perasaan dapat bertemu anda semua indah sekali. Banyak kenangan manis kami rasai sepanjang berulang-alik ke sini dan banyak negara lain.

“Kami sudah menjayakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun bermakna empat, lima persembahan besar setiap bulan.

“Malaysia, ‘we flying without wings’,” kata seorang anggotanya, Shane Filan disambut tepukan gemuruh khalayak.

Selain Shane, kehadiran kumpulan vokal harmoni yang ditubuhkan pada 1998 itu turut disertai Kian Egan dan Nicky Byrne.

Seorang lagi tunjang utama Westlife iaitu Mark Feehil tidak dapat turut serta disebabkan masih dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan.

Pada persembahan berdurasi lebih dua jam itu, Westlife menyampaikan 25 dendangan termasuk deretan lagu penyanyi popular lain.

Antaranya Nothings Gonna Change My Love For You, Flying Without Wings, Starlight, We Are The Champions, Uptown Girl, My Love, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

Menariknya, kumpulan yang kerap singgah di Kuala Lumpur dengan kali terakhir tahun lalu turut mengajar penonton bermain cahaya menggunakan bahasa Malaysia.

“Angkat tangan… turun, angkat tangan… turun,” demikian arahan Nicky kepada peminat setia agar mengikut turutan menyalakan lampu telefon bimbit untuk dirakam dan dimuat naik dalam Instagram Westlife.

Sebelum singgah di Genting Highlands, mereka terlebih dahulu menghiburkan peminat di Beijing, Shenzhen, Shanghai, China, disusuli Korea, Vietnam dan kini menuju Indonesia serta Singapura bagi melengkapkan jelajah di Asia Tenggara.

Penerima trofi pelbagai anugerah termasuk World Music Award, Brit Awards, MTV Awards pertama kali mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 1999. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok