NAMANYA cukup gah, tiada yang mampu menggantikan dirinya sehingga hari ini.
Itu sudah cukup untuk menggambarkan sosok seorang Ziana Zain yang merupakan antara penghibur disenangi dan disegani ramai sejak tiga dekad lalu.
Satu hal harus dipuji, keramahan dan kerendahan hati dan sikap ‘membumi’ yang sehingga hari ini menjadi antara faktor, namanya masih utuh dalam industri seni tanah air.
Pada usia 56 tahun, jika kebanyakan wanita mungkin memilih memperlahankan karier, berehat, melayan dan menjaga keluarga di rumah tetapi sebaliknya dilakukan Ziana.
Dia kini sibuk mencari jalan untuk memiliki sebuah kehidupan yang penuh bermakna, termasuk bersiap-siaga menjelang konsert solo di Mega Star Arena, Sungei Wang pada 25 Mei depan.
Ziana pada awalnya mengakui penglibatan sebuah konsert pada usianya ketika ini adalah kerja gila, tenaganya pasti tidak serancak dahulu.
Namun, demi kasih dan sayang kepada peminat, pelantun lagu itu enggan membiarkan semangatnya pudar. Dia mengumpul keyakinan tinggi apatah lagi mendapat dukungan daripada kelab peminatnya, Zianafolks.
Memang kita tidak boleh nak jangkakan tenaga kita pada usia 56 tahun ini akan sama seperti usia umur 20-an. Bila sudah semakin berusia, vokal akan menjadi semakin bulat dan suara pun menjadi lebih serak.
“Namun, konsert ini diadakan demi kerinduan kepada peminat.
Lagu-lagu yang akan dimainkan pada hari tersebut juga dipilih oleh peminat, setiap inci konsert itu sangat bermakna,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Kurang sebulan lagi, pemilik nama penuh Siti Roziana Zain itu berkata, tiada gimik mahupun persembahan aneh akan dilakukan pada malam 25 Mei nanti.
Sebaliknya, durasi selama tiga jam akan dipadatkan dengan coleteh dan rangkuman kisah perjalanan hidupnya.
Saya akan tampil dengan konsep yang menceritakan kronologi hidup yang dilalui seorang Ziana Zain.
“Paling istimewa, lebih 20 buah lagu akan dipersembahkan dan semuanya berdurasi penuh, tiada medley kerana mahu beri kepuasan kepada pembeli tiket,” ujarnya.
Ziana mengakui terbuka menerima kehadiran peminat dalam kalangan generasi muda pada konsert itu nanti.
Ujarnya, kehadiran penonton muda sangat bermakna kerana membawa aura baharu pada konsert tersebut.
“Tidak dinafikan saya ada peminat dalam golongan muda dan juga kanak-kanak.
“Bagi saya ini petanda yang bagus kerana bukan senang nak dapat peminat baru yang seusia dengan anak-anak saya,” katanya. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.