PELAKON Zara Zya akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan serta rawatan bagi dua sindrom yang dihidapi iaitu Cervical Facet dan Lumbar Facet Syndrome, hari ini.
Ujar Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 38, pembedahan tersebut dijalankan selepas dua minggu mendapatkan rawatan di hospital.
“Assalamualaikum. Dengan rendah diri, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua yang saya kasihi, sama ada yang mengenali saya ataupun tidak.
Sekiranya saya pernah menyakiti hati anda, maafkanlah saya. Esok (hari ini) Jumaat yang mulia, saya akan menjalani pembedahan dan rawatan untuk membuang cyst, fibroid dan melakukan ‘facet joint injection’.
“Saya sudah berada di hospital ini hampir dua minggu,” katanya dalam perkongsian di Instagram, malam tadi.
Berkongsi keadaan terkini, pelakon drama bersiri Love You Mr. Arrogant itu menyatakan pada awalnya mahu menjalani pemeriksaan, namun doktor mendapati dia mempunyai masalah lain.
Pada mulanya, saya hanya ingin membuat pemeriksaan untuk sakit artritis tetapi kemudian didapati saya juga menghadapi masalah Cervical Facet dan Lumbar Facet Syndrome.
“Selain itu, saya juga menghidap cyst (Bosniak IV) pada buah pinggang kiri selain mempunyai fibroid,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Zara turut memohon doa serta kemaafan daripada pengikut media sosialnya.
Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Jangan lupa untuk memaafkan saya, ya. Ujian ini dari Allah S.W.T dan saya redha dengan semuanya,” ujarnya..
Terdahulu, keadaan kesihatannya terjejas berikutan dua sindrom yang mengakibatkan bahagian leher dan belakangnya sakit.
Cervical Facet Syndrome atau sindrom sendi faset leher adalah salah satu punca paling biasa bagi kesakitan leher.
Sendi faset merupakan sendi kecil pada bahagian belakang (aspek posterior) tulang belakang dan mudah terdedah kepada kecederaan dan keradangan.
Lumbar Facet Syndrome pula merujuk kepada keadaan klinikal berkaitan gejala seperti kesakitan belakang unilateral atau bilateral yang memberi kesan pada satu atau kedua-dua punggung, sisi pangkal paha hingga bahagian atas lutut. – HIBGLAM