Yusof Haslam menangis isteri ‘hilang’ sebulan

PEJAM celik, tanpa sedar mahligai perkahwinan pengarah yang terkenal dengan gelaran ‘Six Milion Dollar Man’, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail sudah mencecah usia 41 tahun.

Mengakui bukan mudah mempertahan rumah tangga sehingga hampir mencecah usia setengah dekad, Yusof memberitahu, beliau berpegang kepada kejujuran dan kesabaran bagi memastikan perkahwinan bertahan lama.

Bukan mudah untuk kekal sehingga hari ini. Apa yang saya pegang ialah kejujuran kerana kedua-dua orang tua saya pesan hidup berumah tangga jangan ego. Paling penting bertolak ansur.

“Selain itu, jangan berkeras antara satu sama lain, berterus-terang dan banyak bersabar,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka ke-41 di ibu kota baru-baru ini.

CINTA Yusof dan Patimah kekal utuh meski rumah tangga pernah diuji gara-gara cemburu.

Sementara itu, Patimah berkongsi pengalaman membawa diri kerana jiwa diselubungi perasaan cemburu.

Disebabkan tidak tahan mendengar gosip tentang suami tercinta, Patimah nekad ‘melarikan diri’ ke Pokok Sena, Kedah dan meninggalkan Yusof terkontang-kanting dengan tiga anak.

Tidak memperincikan punca rajuk di hati, Patimah berkata, ketika itu dia memilih untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dan belajar ilmu agama.

Mungkin sesetengah orang apabila berdepan situasi itu akan memilih ke pusat karaoke tetapi saya pula mahu belajar ilmu agama.

“Tanpa membawa telefon, saya tinggalkan suami bersama anak-anak. Hampir sebulan saya keluar rumah ,” katanya.

Sementara itu, Yusof yang melepaskan keluhan kecil memaklumkan bukan mudah memujuk Patimah kembali ke pangkuannya.

Sesi memujuk itu mengambil masa yang lama. Walaupun sudah kembali ke rumah, ada sahaja perkara dijadikan punca perbalahan.

“Ketika dia (Patimah) keluar rumah, saya tidak tahu hendak cari di mana. Mujur bapa mentua mengetahui lokasi Patimah berada dan berjaya pujuk dia untuk pulang,” ujarnya.

KEJUJURAN dan ketepikan ego antara rahsia kebahagiaan rumah tangga pasangan romantik ini.

Lagu untuk isteri

Yusof tidak dapat melupakan detik menanti kepulangan isteri dengan penuh sabar dan linangan air mata.

Katanya, ketika muhasabah diri dan memikirkan di mana Patimah berada, dia duduk sendirian di balkoni rumah sambil mendengar lagu Permata Untuk Isteri nyanyian kumpulan Kopratasa.

Waktu itu saya buntu dan tidak tahu di mana hendak mencari isteri. Saya termenung memandang gelanggang badminton sambil mendengar lagu Permata Untuk Isteri.

“Mendengar lagu itu, saya terus menangis seraya berdoa isteri segera kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Pengalaman menyedihkan itu mengajar Yusof untuk sentiasa meletakkan isteri sebagai keutamaan dalam hidupnya.

Isteri selalu pesan agar jujur dalam rumah tangga, insya-Allah rumah tangga akan sejahtera. Pada usia sekarang kami tidak lagi bergaduh dek cemburu tetapi lebih kepada soal anak-anak. Lagi pun usia sudah cecah 70 tahun, siapa lagi yang mahu,” katanya tertawa.

Tanpa menunggu lama Patimah lantas menjawab: “Wanita zaman sekarang tidak penting usia tua atau muda, botak atau tidak, janji poket penuh.”

Hasil perkongsian hidup, pasangan romantik itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Syamin, Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok