Wajah seiras, Atikah mahu berganding dengan Fazura

SERING dikatakan memiliki wajah seiras, pelakon Datin Atikah Suhaime menzahirkan keinginan untuk bergandingan bersama aktres Fazura.

Berkongsi keterujaan, Atikah atau Nur Atikah Mohd. Suhaime, 33, berkata, walaupun sudah lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni, dia tidak pernah berpeluang berlakon dengan bintang Pisau Cukur itu. Jika diberi kepercayaan dia mahu menjadi watak ‘adik’ kepada isteri Fattah Amin itu.

“Kalau ada orang beri tawaran berlakon dengan Fazura saya memang enggan lepaskan peluang lebih-lebih lagi dapat jadi adik-beradiknya.

“Saya selalu berimaginasi dapat berlakon dengan dia. Lakonkan watak sebagai adik yang jahat. Seronoknya sekiranya dapat beraksi dalam satu naskhah,” katanya kepada Kosmo! Online sambil mengiyakan kenyataan mengenai persamaan wajah mereka.

Ditanya mengenai tawaran, pelakon asal Singapura itu memaklumkan belum pernah menerima sebarang naskhah untuk beraksi bersama aktres idolanya.

“Setakat ini belum ada lagi tawaran tetapi saya pernah minta izin dengan suami untuk terima tawaran kalau ada drama panjang dengan Fazura.

“Nasib baik suami saya okey sahaja cuma dia izinkan sekiranya berlakon dengan Fazura,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Atikah pernah berkongsi suaminya iaitu Datuk Lokman Teh tidak sanggup berjauhan lama dengan dirinya sehingga terpaksa memperlahankan karier lakonannya.

Namun, bintang My Stupid Boss itu tidak peduli andai dianggap sebagai bentuk kongkongan asalkan suaminya memberikan layanan terbaik seperti seorang puteri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok