Usah kecam, dunia hiburan perlukan gimik – Rossa

KERAP menjadi juri bagi program realiti televisyen di Indonesia menjadi kelebihan Rossa kerana mampu menilai dan memahami sesebuah persembahan pentas dari sudut pandangan menyeluruh.

Kata pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handayani yang kini menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap The Hardest Singing Show (THSS), elemen gimik perlu ‘wujud’ dalam setiap persembahan.

Baginya, pentas program sebegitu merupakan platform terbaik untuk para penyanyi mempersembahkan kreativiti dan membuktikan kemampuan mereka untuk bergelar seorang penghibur.

Dunia hiburan perlukan gimik dan pelbagai jenis kejutan sebegitu supaya industri terus meriah atau tidak membosankan.

“Gimik sebegini yang diperlukan atas nama seni dan pertandingan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta itu juga berpendapat, orang ramai seharusnya meraikan sebarang idea hebat tanpa wujud rasa kebencian dalam diri.

Rossa tidak mempunyai perancangan untuk terjun dalam dunia politik pada waktu terdekat.

Bahkan, kecaman mahupun sebarang kata-kata negatif tidak seharusnya dilemparkan netizen secara rambang terutama bagi program THSS yang kini menyorot perhatian ramai sejak belakangan ini.

“Kecaman? Dalam dunia hiburan, kita tak pernah memaksa orang untuk menyukai setiap yang dipersembahkan.

Semuanya terpulang tetapi idea THSS ini bukan untuk membandingkan kehebatan mereka menyanyi sebaliknya, kreativiti dalam melakukan cabaran ketika membuat persembahan.

“Bagi saya, berseronok sahaja dengan semua idea baru yang dipertontonkan,” ujarnya.

Teruja berkongsi pengalamannya sebagai juri THSS, penyanyi berusia 46 tahun itu mengakui sangat mengagumi kehebatan barisan penyanyi yang menyertai program tersebut pada musim pertama ini.

“Saya setuju untuk menjadi juri kerana barisan penyanyi yang bertanding sangat hebat.

Mereka sangat berani menerima cabaran dan lakukan di luar jangkaan. Bukan hanya menyanyi tetapi mereka menunjukkan kerja keras untuk melawan kebiasaan.

“THSS ini saya sifatkan sebagai luar biasa dan di Indonesia masih belum ada program sebegini. Jadi, saya memang teruja untuk menjadi juri,” jelasnya.

BAKAL bergandingan dengan Dayang Nurfaizah menerusi konsert Divas & Diamond 2024 pada 7 September depan.

Sempat berseloroh, Rossa berkata, syukur dia hanya dipilih untuk duduk di kerusi juri kerana merasakan dirinya tidak berkemampuan untuk menyempurnakan tugasan mencabar seperti dilakukan peserta THSS setiap minggu.

“Pujian bukan sahaja harus diberi kepada para peserta tetapi juga seluruh kru produksi kerana sangat mementingkan faktor keselamatan.

Ketika menonton persembahan mereka, terlintas dalam fikiran bahawa semua peserta ‘gila’.

“Untung saya hanya sebagai juri dan bukannya peserta. Saya sendiri tak mampu untuk melakukan semua aksi sebegitu, mungkin patah tulang,” katanya lagi sambil tertawa. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok