RASA kecewa pelakon Afifah Nasir apabila hasrat untuk melihat Judika menyanyi di majlis perkahwinannya tidak kesampaian terubat apabila diundang menyaksikan konsert penyanyi terkenal itu.
Menerusi perkongsian dalam Instagram, Afifah atau nama sebenarnya, Nur Afifah Md Nasir,31, memaklumkan syarikat pengurusan Judika, SAH Entertainment ada menawarkan tiket percuma ke persembahan mega penghibur idolanya itu di Singapura pada Jun nanti sebagai hadiah perkahwinan.
“Tahniah di atas perkahwinan. Kami ada terbaca yang Judika tidak dapat hadir pada majlis Afifah.
Sebagai hadiah perkahwinan daripada kami, pihak SAH Entertainment sebulat suara menghadiahkan dua tiket konsert untuk Afifah dan suami ke konsert Judika di Singapura, 8 Jun nanti,” kata pihak SAH Entertainment melalui direct message (DM) dalam Instagramnya.
Terdahulu, Afifah ada menyatakan semua hajat untuk majlis perkahwinan impiannya tercapai kecuali kehadiran penyanyi idolanya, Judika.
Judika tidak boleh datang atas beberapa sebab, saya tidak boleh boleh berkongsi di sini. Apapun Judika tetap terbaik,” kata Afifah.
Untuk rekod, Afifah dan Syed Hariz mendirikan rumah tangga pada 5 Mei lalu selepas empat bulan bertunang.
Majlis pernikahan yang berlangsung di Hotel The St. Regis Kuala Lumpur itu disahkan kakaknya, Anzalna Nasir. – HIBGLAM