“MEMANG terkilan sebab saya terlambat setengah jam sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Itu luahan pilu pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang terkilan tidak dapat berada di sisi sahabat baiknya,,Allahyarham Datuk Hail Amir ketika bertarung nyawa di hospital, petang semalam.
Tarmimi atau nama sebenarnya, Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin, 74, berkata, pemergian penyanyi dan pelakon itu semalam membawa makna dia kini tiada lagi tempat untuk bergurau senda dan berkongsi cerita.
“Dua hari lepas dia masih sedar tapi saya sibuk sangat sampai tak sempat menjenguk. Bila dapat tahu dia sudah tiada, saya termenung, terkilan. Wajah kesayangan hamba kini telah pergi buat selamanya.
“Sekarang saya tiada teman bergurau kasar, semua sudah pergi. Mungkin selepas ini giliran saya pula,” katanya kepada HibGlam.
Menyifatkan Allayarham sebagai sahabat yang mudah didekati, pelakon filem Abang itu sudah terlalu lama mengenali insan berbakat besar itu.
“Sejak 1970, kami memang berkenal rapat. Arwah sememangnya insan yang senang didekati, apa yang pasti dia memang berbakat besar.
Walaupun di penghujung usia ini kami jarang bertemu tapi akan ada masa kami bersua. Kali terakhir berjumpa pada ramadan tahun ini.
“Semoga ahli keluarga tabah menghadapi segalanya, saya difahamkan anak-anak menjaganya dengan baik sekali,” ujarnya di ketika ditemui media di Masjid Ukay Perdana di sini, hari ini.
Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang semalam akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. – HIBGLAM