HATI mana yang tidak terkesan sekiranya penat lelah bergelumang dengan sesuatu pekerjaan, tidak langsung disedari orang.
Itu gambaran perjalanan seni jejaka dengan nama pentas, Ameerul Asyraf meskipun sudah lima tahun bertapak dalam industri. Laluan kariernya kelam tiada penyuluh kelibat ada, namun tidak meninggalkan jejak.
Seperti rezeki yang tertulis turun pada waktu tepat, segala-galanya berubah positif sekelip mata selepas kehadirannya dalam drama Lelaki Itu mula disedari ramai.
Memegang watak sensasi iaitu lelaki simpanan atau ‘anak ikan’, Ameerul mengakui, karakter tersebut meninggalkan impak luar biasa yang tidak pernah dirasai sebelum ini sebagai seorang pelakon.
“Saya sudah lama tak rasa perkara dan mendapat perhatian begini. Drama terakhir yang beri impak besar dalam bidang lakonan ialah Leftenan Zana.
“Memamg tak sangka watak ‘anak ikan’ membuatkan penonton sedar kehadiran saya dalam Lelaki Itu walaupun bukan karakter utama,” katanya kepada HibGlam.
Dikecam teruk, namun kegembiraan tetap terpancar pada wajahnya.
Dia tetap bersyukur watak kurang bermoral tersebut berjaya memberi impak terhadap jalan cerita dan penonton.
Paling membuat jejaka berusia 33 tahun itu terkesan pastinya komen-komen yang menghujaninya sejak kebelakangan ini.
“Lucu lihat komen netizen tentang watak Imran tetapi saya perlu mengaku bahawa pada awalnya memang tak boleh tidur selepas baca respons penonton.
“Pengarah ada berkongsi rasa gembira, cuma dia nasihatkan supaya ‘bertahan’ sedikit dengan impaknya.
“Mula-mula saya tak baca komen sangat. Beberapa hari kemudian, tular dalam TikTok mengenai komen netizen yang meluahkan rasa tak puas hati dengan watak Imran.
“Tak boleh tidur juga bila kena kecam sebab tak pernah kena begini.
“Rasa tertekan juga mula-mula bila orang cakap muka tak elok dan sebagainya,” ujarnya.
Tuturnya, semua komen tersebut ibarat satu kejutan budaya dalam sejarah kerjaya seninya dalam tempoh lima tahun ini.
“Saya baca komen netizen sehingga pukul 4 pagi yang rata-ratanya memang negatif!
“Semua itu buat saya rasa resah dan sukar tidur. Terkejut sebab tak pernah kena begini sejak lima tahun lalu.
“Memang sakit hati baca komen tetapi saya perlu bersyukur watak itu berjaya dibenci penonton meskipun hanya watak kecil,” tuturnya.
Ditanya mengenai penampilannya sebagai ‘anak ikan’ yang dianggap tidak sesuai, Ameerul menjelaskan bahawa sebelum
Lelaki Itu, dia menjalani drama berjudul Badai Semalam dengan memegang watak sebagai nelayan.
Penggambaran sebagai watak nelayan di Kelantan turut memberi sedikit sebanyak kesan terhadap imejnya, seperti menjadikan rambutnya kering dan menggelapkan kulitnya.
Dalam masa sama, antara komen meninggalkan impak adalah gaya rambut dan wajah yang dikatakan tidak cukup ‘jambu’ sebagai ‘anak ikan’.
“Saya cuma ada masa dua minggu untuk masuk ke set Lelaki Itu, transisi daripada nelayan menjadi ‘anak ikan’. Agak sukar untuk dapatkan imej itu.
“Mungkin netizen nak pelakon yang lebih sedap mata memandang tetapi saya percaya pihak produksi, terutama penerbit dan penulis skrip seperti Erma Fatima lebih tahu sebab pemilihan saya,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.