KUMPULAN Dolla tidak ambil pusing kenyataan ahli SMDX yang mengatakan tidak mengenali mereka.
Sabronzo, 29, berkata, perkara tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan selain mengakui Dolla masih lagi kumpulan penyanyi baharu yang belum dikenali seluruh rakyat Malaysia.
Malah, dia menegaskan SMDX masih baharu dan perlu diberi peluang belajar tentang industri hiburan tempatan.
Tak salah kalau ada yang tak kenal Dolla. Itu akan membuatkan kami akan berusaha keras untuk menghasilkan lebih banyak lagu dan kandungan untuk peminat.
“Bagi kami tiada masalah kerana mereka juga masih baharu dalam industri ini. Harap pada masa depan dia akan dapat belajar. Semoga berjaya pada masa depan,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar konsert Dolla Re:Birth The Experience di ibu kota hari ini.
Dalam pada itu, Dolla turut menasihatkan agar peminat mereka, iDolla tidak saling bergaduh dalam media sosial atau memanjangkan lagi hal tersebut.
Kata Tabby, Dolla sentiasa menghargai sokongan yang diberikan peminat selain berusaha untuk memberikan yang terbaik buat semua.
Terima kasih kerana menyokong kami. Kami amat menghargai, tetapi peminat tidak perlu bergaduh sebab industri kita ini kecil dan tak perlu keruhkan keadaan.
“Kami sentiasa memberi sokongan kepada sesiapa saja. Ada banyak lagi perkara baik boleh diperkatakan. Kami juga tiada masalah untuk menjalin kerjasama pada masa akan datang jika kerjasama itu memberi impak positif,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan asal Sabah, SMDX itu dikecam teruk netizen susulan kenyataan seorang anggotanya, Elle Thong yang didakwa berlagak apabila menyatakan tidak mengenali Dolla.
Tindakan mulut lancangnya membuatkan peminat tegar Dolla, iDolla tersinggung sehingga pelbagai kecaman ditinggalkan dalam ruangan komen video TikTok gadis terbabit.
Dalam video tersebut Elle seolah-olah tidak pernah mendengar nama Dolla yang juga kumpulan wanita paling popular ketika ini.
Begitupun, syarikat rakaman SMDX, XIOKK Entertainment tampil membuat permohonan maaf atas keterlanjuran kata artis naungannya selain menyentuh beberapa isu sampingan lain termasuk imej seksi. – HIBGLAM