Syafiq, Syamsul ada kekuatan masing-masing – Yusof Haslam

PENGARAH dan penerbit Datuk Yusof Haslam menasihati anaknya, Syafiq agar tidak berasa rendah diri dan membandingkan kejayaan filem arahannya dengan pencapaian Syamsul.

Yusof, 70, berkata, kedua-dua anaknya yang terlibat dalam bidang pengarahan filem itu mempunyai kekuatan tersendiri.

Sekarang semangat dia (Syafiq) sedang berkobar-kobar. Dulu dia rasa down (kecewa) kerana kutipan filem tidak setanding abangnya. Saya nasihatkan dia agar tidak mengalah kerana dia dan abangnya mempunyai kelas tersendiri.

“Jadi jangan kecewa soal kutipan filem kerana ada juga beberapa karya Shafiq berjaya meraih kutipan yang baik,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lanjut, Yusof berkata Shafiq kembali bersemangat selepas mengarah filem Polis Evo 3 pada tahun lalu.

“Selepas Polis Evo 3, Shafiq kembali bersemangat dengan Sheriff: Narko Integriti. Dia melihat filem ini dapat sambutan hangat dan sekarang dia semakin bersungguh-sungguh.

Awalnya saya ingin mengarahkan filem ini kerana idea asalnya daripada saya. Tetapi, Shafiq datang dan dia minta kebenaran untuk menjayakan filem ini.

“Selepas melakukan beberapa olahan saya rasa bimbang kerana filem ini agak sensitif tetapi alhamdulillah apabila mendapat pujian daripada Bukit Aman. Bukit Aman mengatakan filem ini menarik dan tidak merendahkan polis,” katanya.

Untuk info, Sheriff: Narko Integriti yang memulakan tayangan pada 18 April lalu berjaya meraih kutipan RM60 juta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok