Susah untuk saya bersara – M. Nasir

PENYANYI dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir mengakui berasa kekok untuk bersaing dengan generasi muda setiap kali mempertaruhkan karyanya di pentas pertandingan.

Meskipun begitu sebagai seorang pengkarya M. Nasir, 67, sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan peredaran semasa.

“Sekarang, jika lagu saya masuk bertanding, saya menjadi orang yang paling tua sekali dalam kalangan peserta. Kebanyakan yang bertanding semua masih muda.

Tapi, muzik yang saya cipta pada hari ini adalah muzik orang muda. Jadi, saya ada sedikit rasa bagaimana hendak sesuaikan diri,” katanya.

Menyambung tentang jangka hayat karier seninya, Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed tidak meletakkan sebarang sasaran titik noktah terhadap kerjaya seninya yang sudah berlangsung sejak 45 tahun lalu.

“Selagi saya rasa boleh berkarya, saya akan teruskan kerana itu adalah pekerjaan saya. Jika bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga.

Tapi, saya suka dengan bidang ini, bidang mencipta lagu. Kita buat daripada lagu itu tidak ada, kemudian ada ‘bentuk’ dan kemudian orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tidak dapat.

“Jadi, susah kalau ditanya bila saya nak berhenti. Selagi saya dapat rasa nikmat itu, saya susah hendak berhenti,” ujarnya yang ditemui pada sidang media Konsert Dato’ M.N45ir, Cipta di sini semalam.

Berbicara tentang konsert anjuran Icon Entertainment yang akan berlangsung pada 10 Ogos 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, M. Nasir berharap dapat memenuhi impian peminatnya.

Saya akan menyanyikan sekitar 40 buah lagu. Ada lagu-lagu wajib M. Nasir seperti Mentera Semerah Padi dan juga lagu yang saya ciptakan untuk penyanyi lain.

“Saya cuba untuk beri yang terbaik dan berharap peminat akan datang memberi sokongan,” kata M.Nasir.

Tiket berharga RM238 sehingga RM588 akan mula dijual pada 27 Mei ini menerusi laman web, www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok