Sharifah Sakinah Tak mati dek kutukan

APABILA sebut sahaja nama Sharifah Sakinah, pelbagai kontroversi bermain di benak fikiran terkait pelakon dan pengacara itu. Tidak mengira sama ada kenyataan berunsur sarkastik, berpakaian seksi, memegang anjing dan bermacam isu panas lain .

Itu semua bagaimanapun tidak ‘mematikan’ wanita yang mesra disapa sebagai Sakinah. Baginya, itu semua adalah sepak terajang bergelar anak seni.

Sebagai individu yang sentiasa menjadi sasaran umum, Sakinah mengakui tidak dapat lari daripada menerima kecaman dan kritikan khususnya dalam media sosial.

“Sesekali apa yang dikongsikan di media sosial memang mendapat perhatian. Saya akui dan terima perkara itu kerana semua orang ada pandangan masing-masing.

Apabila perkara itu berlaku, saya akan menjelaskan kepada keluarga. Lagi pula kita kena faham bahawa orang ramai sekarang banyak yang tertekan.

“Jadi, cara mudah untuk menyalurkan kemarahan mereka itu ialah dengan cara mengeluarkan kenyataan di media sosial,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Tidak menafikan kenyataan ‘pedas’ itu sedikit sebanyak mencuit hati kecilnya, namun Sakinah lebih senang memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan balas.

Sakinah mengakui pernah berdapan masalah mental namun kini semuanya sudah stabil.

Bila kita lihat komen yang diberikan, pengikut ini juga mempunyai karakter mereka tersendiri. Sama seperti berlakon, setiap individu ada personaliti dan watak masing-masing.

“Sebahagian mereka menyokong, ada yang mengkritik dan ada pula yang memberi nasihat.

Bagi saya respons terbaik adalah tidak memberi respons. Diamkan diri. Jika saya ada berbuat salah, saya akan mohon maaf.

“Apabila ada saja komen negatif, saya tidak boleh mengatakan mereka itu berfikiran kuno atau tidak satu kepala dengan saya. Ini kerana saya tidak dibesarkan dengan begitu,” katanya.

Refleksi diri

Biarpun kelihatan utuh dikecam, namun Sakinah pernah merehatkan diri daripada menggunakan media sosial. Sekitar beberapa tahun lalu ketika usianya 30 tahun, dia mengambil pendekatan mendapatkan rawatan kesihatan mental secara profesional.

Setelah tiga tahun ‘berpuasa’ daripada media sosial, Sakinah perlahan-lahan mula aktif semula sehinggalah dia kini sudah mencecah umur 35 tahun.

“Waktu itu saya memang merehatkan diri sekejap dan mendapatan rawatan psikiatri selain membaca banyak buku yang banyak memberi inspirasi. Kemudian perlahan-lahan saya kembali aktif di media sosial.

“Saya menggunakan media sosial bukan untuk mengutuk atau mencari perhatian. Tetapi, saya berusaha memberikan inspirasi kepada orang lain dan cuba untuk memberikan kesedaran kepada kesihatan mental.

“Saya juga kena sedar bahawa setiap kandungan yang dikongsikan ada impaknya kerana apa sahaja yang dikongsikan tentu akan diperkatakan,” jelas ibu anak satu itu. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok