Shaitaan versi Ajay Devgn, horror yang luar biasa

Diterbitkan Ajay Devgn dan diarahkan sutradara Vikas Bahl, naskhah berjudul Shaitaan mendapat respons positif daripada kebanyakan penggemar filem Bollywood.

Bukan sahaja menghidangkan sesuatu yang baharu buat tatapan penonton, Shaitaan juga mengejutkan orang ramai apabila sedikit ‘lari’ daripada genre lazim filem-filem hindi yang sebelum ini banyak berkisar tentang cinta dan gengster.

Merupakan remake filem Vash yang diterbitkan tahun lalu, selepas menghabiskan durasi 132 minit, penulis berani jamin Shaitaan bukan sekadar filem tetapi sebuah pengalaman sinematik yang memberi dampak tersendiri.

Pertama sekali, kesemua pelakon terlibat seperti Ajay Devgn, R. Madhavan, Jyothika, Janki Bodiwala dan pelakon cilik, Anngad Raaj melunaskan tanggungjawab masing-masing dengan cemerlang.

Pelakon faham tugasan

Watak villain bernama Vanaraj Kashyap yang dilakonkan R. Madhavan antara perkara yang menderaskan kejayaan filem ini dari segi kualiti dan nilai komersil.

Vanaraj tanpa gagal membawa maksud sudah diberi paha, nak betis pula ke layar perak.

Keluarga Kabir memberi layanan baik sewaktu mereka pertama kali berjumpa, namun ternyata, ada udang di sebalik batu demi melunaskan rancangan jahat demi kekuasaan bersifat supernatural.

Dalam pada itu, Ajay juga berjaya menebus kekecewaan lampau yang mengatakan kerjaya lakonannya tidak lagi mempunyai aura seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Watak villain bernama Vanaraj Kashyap yang dilakonkan R. Madhavan antara perkara yang menderaskan kejayaan Shaitaan.

Shaitaan memberi pembuktian seseorang pelakon seperti Ajay hanya perlu bekerja untuk produk yang bagus untuk mendapat secebis perhatian selayaknya.

Seperkara lagi, Janki yang menjadi remaja dipukau juga tiada cacat cela dengan terjemahan karakter tersebut.

Janki Bodiwala yang terlibat dengan Vash ternyata faham benar tugasan yang perlu dilunaskan dalam Shaitaan.

Aspek teknikal, penulis secara peribadi kagum dengan sinematografi, efek bunyi dan soundtrack filem Shaitaan.

Lagu tema Shaitaan adalah apa yang masih berlegar dalam fikiran penulis sehingga sekarang.

Soundtrack

Bahagian chorus lagu terbabit rasa macam lagu band indie tempatan yang sangat berhubung dengan sesiapa yang mendengar.

Dalam pada itu, dari segi unsur horror, kemenjadian elemen tersebut dalam Shaitaan cukup rencahnya.

Selain visual menarik, Shaitaan juga diampuhkan dengan terjemahan karakter pelakon muda, Janki Bodiwala.

Tidak banyak adegan pertumpahan darah (gory) melampau atau kesan khas yang merepek. Apa yang dihidangkan hanya jalan cerita baik dan mudah difahami para penonton.

Menonton filem Shaitaan membuatkan penulis teringat kepada naskhah seram kekeluargaan yang pernah dirilis Hollywood seperti Get Out.

Secara keseluruhannya, Shaitaan memberi suntikan baharu buat industri filem Bollywood. Judulnya sahaja sudah memancing adrenalin menonton dan sesudah menghabiskan tontonan, tiada langsung rasa penyesalan. Syabas!

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok