Shah Rukh Khan diserang strok haba

AKTOR ternama Bollywood, Shah Rukh Khan dikejarkan ke sebuah hospital di Ahmedabad akibat dehidrasi dan strok haba berikutan cuaca panas melampau di India ketika ini.

Memetik laporan Times of India, pelakon Dilwale itu hadir menyaksikan perlawanan kriket Liga Perdana India (IPL) membabitkan pasukannya, Kolkata Knight Riders (KKR) di Stadium Narendra Modi pada Selasa lalu namun keadaan kesihatannya semakin memburuk sebelum dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya.

Menurut Penguasa Polis Ahmedabad (Luar Bandar), Om Prakash Jat, aktor itu bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital selepas keadaannya semakin stabil dan dinasihatkan mendapatkan rehat yang cukup.

“Dia dimasukkan ke Hospital KD selepas mengalami strok haba,” katanya.

Anak perempuannya, Suhana dan anak lelaki, AbRam sebelum itu dilihat menemani bapa mereka melayan peminat dan berinteraksi dengan pemain kriket, selepas perlawanan.

Isterinya, Gauri Khan juga dilaporkan bergegas ke Ahmedabad selepas dimaklumkan kejadian tersebut.

Difahamkan, Ahmedabad antara kawasan di India mencatatkan suhu panas sehingga 45 darjah selsius di bandar utamanya iaitu Gujarat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok