Selektif bukan bermakna cerewet – Nadia Brian

BAKAT lakonan wanita bernama Nadia Brian yang lebih sedekad menghiasi langit industri seni tanah air tidak perlu dipersoalkan.

Wajahnya terpapar dalam variasi naskhah bersama pembawaan bermacam karakter daripada watak air mata ataupun wanita penggoda.

Bahkan, dia meledak menerusi drama rantaian fenomena, Lelaki Itu.

Namun populariti drama tersebut mencetuskan spekulasi kurang seronok didengar apabila pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu didakwa sudah mula ‘memilih-milih’ naskhah serta karakter disua.

Terkejut dengan tuduhan sedemikian, wanita berusia 33 tahun itu menempelak segala khabar angin selain menegaskan tidak pernah bersikap sedemikian.

POPULARITI Nadia kian meledak selepas membintangi drama arahan Erma Fatima, Lelali Itu.

Akuinya, kejayaan yang dicapai menerusi drama terbabit adalah hasil kerja keras berpasukan, bukan hanya kerana dirinya sahaja.

Saya terkejut sebenarnya bila ramai orang ingat saya cerewet sedangkan saya tidak begitu. Sebenarnya, sebelum disua drama Lelaki Itu pun, saya memang jenis suka tengok jalan cerita dahulu. Kalau menepati cita rasa saya, baru teruskan.

“Sudah rezeki drama Lelaki Itu impaknya luar biasa. Saya tidaklah berubah cerewet hanya kerana kejayaan drama ini atau apa. Saya tetap sama. Selektif dalam memilih naskhah bukan bermakna cerewet.

Lagi pula kejayaan Lelaki Itu bukan kerana saya seorang tetapi kerja secara berpasukan melibatkan semua orang. Saya tak ambil kesempatan. Saya percaya kemampuan diri saya dan cara saya bekerja,” tegasnya.

Menyelinap masuk dalam industri bukan semata-mata mencari glamor, aktres kelahiran Kangar, Perlis itu sentiasa meletakkan penanda aras dan sasaran peribadi dalam karier lakonannya.

“Saya memang dah letakkan satu penanda aras peribadi dari sudut hasil lakonan saya. Saya tak letakkan penanda aras kerana drama yang saya lakonkan.

Kita sendiri tahu hasil kerja kita. Jadi, terus fokus, disiplin dan jaga segalanya kerana ini adalah periuk nasi kita.

“Biar penanda aras adalah diri kita sendiri dan bukan menggunakan kejayaan sesuatu drama contohnya untuk naikkan harga dan sebagainya. Saya tidak menjadikan itu sebagai alasan. Orang seni tak buta, mereka boleh nilai bakat seseorang pelakon,” tuturnya panjang lebar.

NADIA akan memulakan penggambaran drama terbaharu berjudul Takdir Itu Melarang Cinta dalam masa terdekat.

Diminta mengulas mengenai permintaan penonton yang menantikan sekuel Lelaki Itu dan keputusan penerbit, Erma Fatima yang mengumumkan tidak akan ada sambungan, Nadia percaya Erma tahu apa paling terbaik.

“Bagi saya, saya percaya kepada keputusan Erma sebagai penulis skrip dan penerbit. Apa yang dia fikir adalah terbaik untuk karyanya. Saya menyokong sahaja kalau beliau beritahu, takkan ada sekuel.

Mungkin ada sebab tersendiri kerana Lelaki Itu dah memberi impak yang sangat besar kepada rakyat Malaysia. Kalau buat yang kedua mungkin impak tak sebesar itu.

“Jadi, saya percaya dan yakin dengan keputusannya. Jangan risau, mungkin akan ada lagi naskhah-naskhah lebih hebat daripadanya. Jadi, kita kena terus menyokong Erma dan penerbit tempatan untuk menghasilkan naskhah berkualiti,” ujarnya serius.

Paling penting kata Nadia, drama tersebut berjaya meletakkan piawaian yang tinggi sekali gus boleh menjadi contoh kepada sutradara lain untuk menghasilkan lebih banyak naskhah berkualiti selepas ini.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, Nadia akan kembali ke set penggambaran untuk drama bersiri berjudul Takdir Itu Melarang Cinta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok