Selebriti usahawan kaya-raya

TREND selebriti popular menjadi seorang usahawan bukan sesuatu yang baharu dalam industri hiburan.

Namun begitu, populariti semata-mata tidak menjamin kejayaan bisnes buat selebriti. Ramai selebriti mencuba nasib untuk menjadi usahawan sebagai payung rezeki pada masa depan tetapi bukan semuanya berjaya.

Ada dalam kalangan mereka tersungkur di tengah jalan kerana tiada ilmu perniagaan yang betul.

Antara selebriti yang berjaya dalam perniagaan adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi jenama kosmetiknya sendiri iaitu SimplySiti yang mula berada di pasaran sejak 2010.

Neelofa

Pelakon dan pengacara popular Neelofa antara selebriti usahawan berjaya tempatan. Pernah tersenarai dalam 30 Under 30 Asia Forbes pada 2017, Neelofa mengeluarkan pelbagai koleksi produk.

Antaranya, kanta lekap, minyak wangi, minuman, pakaian muslimah dan aksesori. Namun, produknya yang paling popular adalah koleksi tudung bawah jenama Naelofar Hijab.

Koleksi hijabnya boleh didapati di 38 buah negara dan butiknya boleh didapati di pusat belah-belah popular.

Syatilla Melvin

Meskipun tidak aktif berlakon selepas mendirikan rumah tangga dengan aktor terkenal Shaheizy Sam, pelakon Syatilla Melvin kini adalah seorang usahawan berjaya menerusi produk kosmetik Kekasih.

Perniagaan tersebut diusahakan Syatilla bersama adik-beradiknya iaitu Syafiqa, Syifa dan Syida Melvin.

Tahun kelima membina empayar perniagaan jenama tersebut kekal bertahan sehingga ke hari ini.

Wawa Zainal & Aeril Zafrel

Kehidupan pasangan pelakon Wawa Zainal dan Aeril Zafrel berubah 180 darjah selepas mereka melancarkan produk sendiri iaitu Wawa Cosmetics.

Mula berniaga secara kecil-kecilan dan dari rumah, kini Wawa dan Aeril memiliki empayar yang mampu dibanggakan.

Selain kosmetik, pasangan ini juga memiliki syarikat produksi, Respected Citizen yang menerbitkan filem Sabda Kekasih yang bakal muncul dan dibintangi barisan pelakon popular termasuk Meerqeen, Aedy Ashraf dan Nadhir Nasar.

Kejayaan bisnes pasangan itu sangat luar biasa sehingga mampu membayar zakat perniagaan sebanyak RM1.15 juta pada tahun lalu.

Nadiyah Shahab

Pelakon Nadiyah Shahab dan pasangannya, Ben Ali merupakan usahawan berjaya menerusi produk kek dan manisan di bawah jenama Absolute Chocolat.

Bermula dengan perniagaan dalam talian, kini mereka mampu memiliki kilang sendiri di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor.

Selain itu, mereka juga sukses dengan bisnes pengurusan acara. Antara acara popular anjuran mereka adalah Absolut Bazaar yang dinanti-nantikan oleh pengunjung setiap kali tibanya Ramadan.

Nur Fazura

Sebelum ini aktres Nur Fazura pernah menjalankan beberapa perniagaan termasuk pakaian.

Namun, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu mencetuskan fenomena apabila melancarkan koleksi tudung sendiri yang diberi nama Tudung Fazura dan dijual pada harga serendah RM27.

Bahkan pada 2021, sebanyak 80,000 unit tudung Fazura laris terjual dalam tempoh dua jam dan meraih pulangan sebanyak RM2.16 juta.

Tidak berhenti di situ, pada 2022, sebanyak 200,000 unit koleksi tudung Rahmat Ramadan habis terjual dalam tempoh sejam dan memperoleh pulangan sebanyak RM5.4 juta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok