KETIKA rejim Zionis menjarah bandar paling selatan Semenanjung Gaza, Rafah sejak seminggu lalu, dunia masih belum dapat berbuat apa-apa bagi membantu lebih 1.5 juta rakyat Palestin yang berlindung di situ daripada serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lepas.
Kekejaman Israel terus memuncak dengan mengorbankan ribuan penduduk Palestin seperti data yang ditunjukkan United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA) yang menyatakan korban membabitkan warga Palestin enam kali ganda lebih tinggi berbanding rakyat Israel.
Sejak tujuh bulan lalu juga ramai personaliti tersohor dunia yang bersimpati terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza melaungkan kecaman terhadap rejim Zionis dan Israel agar menghentikan penjarahan berdarah itu.
Malah suara mereka kini dilaungkan menerusi gerakan Blockout 2024 yang memberikan mesej jelas mengajak masyarakat dunia memboikot mana-mana selebriti penyokong Israel.
Gala minggu ini membawakan beberapa nama selebriti Hollywood yang kental berada di belakang rejim Zionis dan Israel secara terbuka.
Natalie Portman
PELAKON kelahiran Jerusalem, Natalie Portman kerap berkongsi mengenai dakyah Israel yang menyifatkan tindakan ketenteraan terhadap Palestin sebagai usaha melindungi warga mereka.
Sekitar akhir tahun lalu, pelakon itu pernah meluahkan kesedihan mengenai insiden berdarah yang didakwa menggugat keselamatan rakyat Israel.
Hati saya hancur untuk rakyat Israel. Anak-anak, wanita dan orang tua telah dibunuh dan diculik dari rumah mereka sendiri. Saya ngeri dengan tindakan biadab ini,” tulisnya dalam Instagram.
Walaupun pernah menolak anugerah Nobel Prize Israel pada 2018, tindakan Portman yang dianggap tidak peka dengan lebih banyak kematian dalam kalangan rakyat Palestin menjadi cemuhan ramai.
Gal Gadot
PALING lantang bersuara dan menjadi antara 700 artis Hollywood yang menandatangani surat terbuka kepada Hamas sekitar Oktober tahun lalu adalah Gal Gadot.
Aktres kelahiran Israel ini tidak berhenti melaungkan sokongan terhadap tindakan rejim Zionis yang disifatkan hanya membalas serangan dilakukan Hamas.
Malah bintang filem Wonder Woman yang pernah menyertai pasukan pertahanan Israel tidak takut berdepan kecaman dunia terhadapnya.
Terbaru, jumlah pengikut akaun Instagramnya menyusut sejuta daripada 109 juta orang disebabkan tindakannya yang tidak mempedulikan kekejaman Israel.
Dwayne Johnson
BERADA dalam senarai artis dengan jumlah pengikut tertinggi iaitu mencecah 397 juta orang menunjukkan pengaruh besar The Rock atau Dwayne Johnson.
Namun tindakannya menyebut pejuang Hamas yang mempertahankan tanah air Palestin daripada dijarah Israel sebagai terrorist membuatkan ramai peminat mengecamnya.
Saya terkilan, marah dan muak dengan pembunuhan dan penculikan orang Yahudi melalui tindakan mengerikan daripada kelompok Hamas,” ujarnya.
Atas perkongsian dibuat, masih ramai terkilan apabila perkara tersebut dianggap sebagai sikap tidak pekanya terhadap nasib rakyat Palestin yang terkorban dan masih bermandi darah sehingga sekarang.
Madonna
SEBELUM ini Madonna pernah berkongsi video di Instagram yang menunjukkan rakaman roket serta mayat yang terbunuh di Israel.
Penyanyi Like a Virgin itu menegaskan hatinya sentiasa bersama Israel apabila mendakwa sokongan tersebut susulan keadaan penduduknya yang kehilangan kediaman dan nyawa.
Buat semua yang menderita atau yang akan menderita akibat konflik ini, saya berdoa untuk anda dan saya sedar bahasa ini perbuatan Hamas,” tulisnya dalam Instagram.
Nama penyanyi ini turut disenaraikan dalam Blockout 2024 iaitu gerakan boikot terhadap artis yang tidak peka terhadap Palestin dan nasib rakyatnya. – HIBGLAM