ENGGAN lebih ramai menjadi mangsa kekejaman Israel, barisan bintang ternama Hollywood termasuk Jenna Ortega menyeru gencatan senjara segera dilaksanakan di wilayah Rafah yang menyaksikan hampir 70 nyawa terkorban setakat ini.
Ortega, 21,menyifatkan serangan tentera Zionis itu sebagai perbuatan terkutuk berikutan ribuan kanak-kanak menjadi mangsa korban.
“Masa untuk bercakap tentang gencatan senjata sementara beribu-ribu kanak-kanak terus disembelih. Di manakah sifat kemanusiaan,” kata bintang filem Miller’s Girl itu di Instagram.
Ortega juga dilihat aktif menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin selain berkongsi pautan tabung bantuan kanak-kanak untuk negara itu dalam media sosialnya.
Selain Ortega, penyanyi Jessie J turut mengkritik serangan Zionis yang mengakibatkan puluhan ribu mangsa kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan harta benda.
Saya menentang pembunuhan yang mengakibatkan penderitaan kepada mangsa di seluruh dunia.
“Perkara sebegini seharusnya tidak berlaku dan sesiapa sahaja tiada hak untuk melalui penderitaan seperti ini.
Kalian semua boleh mempertahankan Palestin dan sesiapa sahaja yang menderita kerana penganiayaan. Mengapa mereka yang tidak bersalah seperti kanak-kanak terus menjadi mangsa,” katanya.
Tidak hanya itu, dia juga meluahkan kekecewaan terhadap peperangan yang terus berlaku dan mengorbankan golongan warga emas, kanak-kanak, wanita serta orang awam.
“Saya berpegang teguh dengan pendirian ini dan menentang sekeras-kerasnya serangan dilakukan Israel. Saya berasa kecewa dan sedih apabila kejadian seperti ini berlaku. Saya hanya memberi reaksi sebagai manusia.
Sebagai seorang ibu, bukan Jessie J. Saya seorang penyanyi, bukan ahli politik atau jurucakap peperangan dan mengetahuinya secara terperinci.
“Sejujurnya saya tidak tahu tetapi saya memberi reaksi terhadap apa yang sedang berlaku depan mata.
Berdoa sahaja sudah tidak memadai. Tindakan segera perlu diambil agar tidak ramai mangsa yang akan terus menderita kerana perkara ini,” ujarnya.
Selain itu, penyanyi yang bakal membuat persembahan di Malaysia November depan, Dua Lipa juga lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Katanya, membunuh kanak-kanak dengan cara membakar mereka hidup-hidup satu tindakan yang tidak munasabah.
Ini satu perkara yang tidak adil. Seluruh dunia seharusnya menentang apa yang dilakukan Israel.
“Tunjukkan solidariti kepada Gaza. Bebaskan mereka sekarang,” katanya.
Tidak terkecuali, penyanyi Ariana Grande turut mengutuk Isreal dengan menyeru agar serangan di Rafah segera dihentikan.
Katanya, serangan tentera Zionis ke atas Rafah meletakkan 1.3 juta rakyat Palestin, termasuk 600,000 kanak-kanak dalam bahaya.
Kita perlukan gencatan senjata kekal sekarang. Bukan gencatan senjata sementara. Pembunuhan mesti dihentikan!
“Tiada apa yang mewajibkan pembunuhan kanak-kanak di Gaza atau di mana-mana sahaja. Presiden Biden dan pemimpin terpilih kita mesti berdepan dengan kebebasan, keadilan, maruah dan keamanan untuk semua orang,” tegasnya.
Sekurang-kurangnya hampir 70 orang awam maut dan lebih 100 individu cedera akibat pengeboman Israel ke atas khemah-khemah perlindungan mereka yang hilang tempat tinggi di barat laut Rafah, selatan Gaza.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mereka yang berada dalam khemah ketika pengeboman terbakar hidup-hidup.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Keselamatan memanggil mesyuarat tergempar mengenai serangan tersebut, sementara Setiausaha Agung PBB Antonia Guterres mengecam serangan yang membunuh ramai orang awam itu.
Sementara itu kumpulan pejuang Hamas menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan bagi menghentikan serangan Israel di Rafah. – HIBGLAM