ENGGAN bersikap hipokrit, penyanyi dan pelakon Atilia mengakui sukar ‘memboikot’ semua produk pro-Israel apatah lagi manjadi suara latar iklan sebahagian punca pendapatannya.
Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron,50, berkata, kebiasaannya hanya selepas tiba di studio dia diberi penerangan terperinci berkenaan produk atau perkhidmatan yang memerlukan suaranya.
Saya tak mahu menipu, saya perlu bekerja untuk mendapatkan duit sebab saya bukan kaya.
“Lagi pun saya tidak berkahwin dan berseorangan, jadi saya hanya memiliki diri sendiri dan keluarga saya. Jadi, susah untuk saya cakap ‘tidak’.
“Katakan ada pihak menyuruh saya lakukan voice over, saya dari kecil buat suara latar iklan, jadi apabila sampai studio itu baru saya tahu produk itu adalah produk apa,” katanya kepada HibGlam.
Tambah penyanyi lagu Cinta Sampai Mati itu, pengalaman dua dekad menjadi suara latar iklan menyukarkannya menolak tawaran tersebut.
Sebagai seorang yang melakukan suara latar iklan selama 20 tahun, takkan saya nak tolak tawaran sesuka hati bila jumpa ‘client’.
“Perkara itu buat Allah marah, sebab kita tak hormat kerja kita. Bakat ini Allah yang beri.
Jadi isu ini agak rumit, kita pandai-pandailah terima perkara mana yang boleh buat dan tidak boleh buat. Jangan cakap tolak 100 peratus, mesti ada juga orang ambil kerja jenama besar (pro Israel) ini,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Atilia mengakui lebih mementingkan kualiti kerja daripada bayaran kerana sudah diajar dari kecil untuk melakukan sesuatu kerja dengan bersunggguh-sungguh.
“Saya lebih utamakan kualiti kerja, bukan amaun bayaran yang diterima.
Jika melakukan sesuatu kerja kena lakukan bersunguh-sungguh. Memang saya sudah diajar daripada dulu sikap sebegini,” katanya.
Berkongsi perkembangan terkini, Atilia membintangi teater Najis Jadi Teman yang akan dipentaskan bermula esok sehingga 24 Jun ini di IWK Eco Park Pantai Dalam.
Teater muzikal arahan Razif Hashim turut dijayakan Alfred Loh dan Phraveen Arikiah dengan dibantu anak-anak dari Yayasan Chow Kit iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – HIBGLAM