Saya sedar, ada buat salah – Muaz Zabir

ORANG kata, baik atau buruk, publisiti tetap publisiti. Sama juga dengan kontroversi, situasi itulah sedikit sebanyak menolak pelakon baharu, Muaz Zabir yang sebelum ini entah siapa mahu peduli keberadaannya.

Dikatakan pernah menjalin hubungan istimewa dengan pelakon Bella Astillah, skandal seketika tersebut meledakkan namanya.

Lahir daripada program realiti Fit to Action, Muaz mengakui, kontroversi yang melanda ketika ini sedikit sebanyak membuatkan namanya semakin dikenali.

Meskipun begitu, pemilik nama penuh Muaz Mohamad Zabir itu tetap memberi jawapan ‘klise’ setiap selebriti iaitu seboleh-bolehnya mahu dikenali dan diminati kerana bakat, bukannya disebabkan gosip liar.

“Tidak dinafikan kontroversi ini buat nama saya semakin dikenali selepas berlakon untuk enam buah drama tetapi Leha, Leya Lawa paling meletup.

“Saya tak mahu kata perkara ini bagus tetapi semuanya ada hikmah. 

“Kalau boleh saya sendiri tak mahu dikenali dengan cara begini, namun inilah realiti perlu dihadap sebagai anak seni,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

TERJEBAK babak kontroversi ‘lelaki ketiga’ dalam hubungan Bella Astillah dan Aliff Aziz, Muaz mengakui khilaf sendiri dan enggan perkara tersebut menyekat karier seninya.

Muaz menambah, kerjaya seninya tidak begitu terjejas susulan kontroversi yang berlaku, namun yakin semua yang terjadi adalah pengajaran terbesar dalam hidupnya.

Dia juga menegaskan tidak pernah terfikir untuk mengundur diri sebagai seorang pelakon meskipun sudah dihenyak dengan kontroversi.

“Saya sebenarnya sudah berlapang dada dan menerima segala yang berlaku sebagai satu pengajaran dan kerjaya saya tidaklah begitu terjejas.

“Saya yakin bahawa semua yang berlaku ini ada baik dan buruknya. Apa yang tidak baik itu saya ambil sebagai pengajaran.

“Apa pun, saya tidak akan undur diri tetapi akan teguhkan kaki di mana bumi (industri seni) saya berpijak,” tuturnya.

Dalam masa sama, jejaka berusia 27 tahun itu mengakui tidak dapat lari daripada berasa bimbang sekiranya kontroversi membabitkan dirinya terus mencetuskan salah faham ramai ketika ini, terutama jika ingin mempromosikan drama lakonannya dengan Bella.

“Sejujurnya semua ini agak mengganggu emosi apabila cerita mengenai kami masih tersebar. 

“Saya jadi risau untuk muat naik perkara yang sepatutnya untuk mempromosikan drama, namun anggap semua itu adalah mainan perasaan.

“Apabila membabitkan kerja, saya perlu melunaskan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Apa yang perlu saya muat naik dalam media sosial, saya akan teruskan.

“Saya dah belajar untuk terima kenyataan dan reda dengan semua yang berlaku. 

“Fokus saya sekarang adalah kerja dan berikan komitmen yang terbaik,” katanya yang turut menerima ancaman supaya tidak menjejakkan kaki ke Singapura.

Mohon maaf, jangan contohi

Si pelakon tinggi lampai itu turut mengaku semua yang berlaku termasuk, dakwaan menjalin hubungan istimewa dengan Bella adalah khilafnya sendiri.

Dia juga memohon maaf kepada semua pihak terbabit selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama.

“Saya terkejut dengan semua yang berlaku, malah langsung tak pernah terfikir akan jadi begini. Saya tak boleh elak, tapi sedar kesalahan yang dilakukan.

“Sekarang, saya sudah reda dengan apa yang terjadi. Ini berlaku tahun lalu, jadi saya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya lagi.

Ujarnya, perkara negatif yang melibatkan dirinya tidak seharusnya dinormalisasikan mana-mana pihak.

“Saya harap orang di luar sana tidak menjadikan semua ini sebagai contoh atau ikutan.

“Saya sendiri mengutuk sekeras-kerasnya semua yang berlaku. Apa pun, ambil semua yang baik dan buang jauh-jauh segala hal buruk,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah dia bersedia untuk bertemu empat mata dengan Bella bagi mempromosikan drama mereka, Muaz berkata, dia sentiasa positif dan menganggap perkara itu sebahagian daripada kerjanya.

“Setakat ini kami belum ada sesi untuk mempromosikan drama bersama-sama dan tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Bagi saya promosi drama ini sudah cukup hebat, tak perlu nak ditambah lagi. 

“Cuma kalau nak gabungkan kami, saya okey saja kerana itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan mahu kekal profesional dengan apa yang berlaku,” kongsinya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok