PEMPENGARUH popular Kasih Iris Leona mengakui terkejut apabila ramai orang mengenali dirinya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Lebih membuatkan anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu terkejut apabila rata-rata peminat mengingati nama penuhnya.
“Saya nak beritahu satu cerita. Apabila saya mendarat di KLIA, saya tak sangka ramai orang kenal saya.
“Bila saya keluar, ada orang panggil nama saya ‘Leona’. Saya terkejut bagaimana mereka tahu nama saya dan lebih mengejutkan mereka juga mengetahui nama penuh saya,” kongsinya menerusi video TikTok.
Begitupun, dia yang melanjutkan pelajaran di London itu mengakui kurang selesa apabila peminat memintanya menyanyikan lagu secara spontan di khalayak ramai.
Katanya, walaupun bersikap ‘sporting’ dan jenis selamba, dia agak segan diminta beraksi atau menyanyi di depan umum.
“Selepas itu, mereka tengok video saya menyanyi dan kemudian dia keluarkan telefon untuk rakam sambil minta saya nyanyi lagu Ketipak Ketipung Raya versi saya.
“Saya agak malu. Kalau orang jumpa saya di luar, jangan suruh saya menyanyi.
“Memang dalam TikTok saya nampak gila dan dalam kehidupan sebenar pun saya gila tetapi saya agak malu dan tidak mahu orang fikir saya gila,” katanya lagi.
Sejak mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik, Leona, 22 tahun semakin disukai ramai lebih-lebih lagi apabila tular menyanyikan lagu Ketipak Ketipung Raya nyanyian asal Aisha Retno dan Aziz Harun.
Dikatakan comel menyanyi dendangan raya itu dengan sebutan Melayu pelat, Leona dipuji sebagai penglipur lara ramai pengguna media sosial.