MESKI dikecam watak alim tidak selari dengan penampilan dalam drama Aku Bukan Ustazah, pelakon Erysha Emyra berlapang dada menerima segala kritikan selain mengakui tidak mampu mengawal reaksi penonton.
Pun begitu, Erysha atau nama lengkapnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, berkata segala mesej yang disampaikan dalam drama tersebut adalah kehidupan dan realiti sebenar dilalui masyarakat.
Kalau kita ambil secara positif melalui drama dan watak tersebut, kita dapatlah mesej tentang kehidupan ini. Nak istiqamah bukan senang.
“Ada juga respons dan maklum balas yang saya lihat dalam TikTok ramai mengaku diri mereka juga begitu, pada akhirnya kita semua manusia lemah.
Saya sendiri pun bukannya baik sangat, mungkin ada hari iman kita naik dan begitulah sebaliknya,” katanya kepada HIBGLAM.
Sebelum ini, ada penonton mempertikaikan penampilan watak Aminah lakonan Erysha yang mengenakan tudung singkat.
Malah, ada juga segelintir netizen tidak bersetuju dengan dialog diucapkan Aminah yang menyentuh hukum berniqab.
Menerusi babak tersebut, Aminah bersama dua wanita berniqab dilihat berbual mengenai penampilan berpurdah dan syarat wajib dalam menutup aurat.
Mengulas lanjut pertikaian tersebut, anak kepada pelakon Noniswara itu menjelaskan ada sebab mengapa dia mengenakan tudung singkat.
Tambah Erysha, kebanyakan komen kritikan dilemparkan mereka yang tidak menonton drama berkenaan secara keseluruhan.
“Ada juga yang mempertikaikan saya yang bertudung labuh dalam drama itu tiba-tiba ada satu babak saya bertudung singkat.
Sebenarnya itu adalah babak dalam rumah dan watak saya belum bersiap untuk keluar rumah.
“Saya rasa orang yang memberikan komen itu tidak menonton drama tersebut dan hanya melihat potongan video yang tular,” ujarnya.
Ini bukan kali pertama Erysha berdepan kritikan, sebelum ini dia pernah dilabel pelakon kayu dan masuk industri hiburan atas ‘tiket’ ibunya sebagai pelakon. – HIBGLAM