Sarimah berhabis demi Gerry Grennell

KEMUNCULAN semula Che Puan Sarimah dalam drama Lelaki Itu baru-baru ini mencetuskan keterujaan ramai. Lama benar bahkan bertahun-tahun, bintang GK The Movie itu tidak muncul menerusi televisyen.

Meski pertama kali berlakon selepas lama beristirehat, Lelaki Itu nyata amat berbekas dalam portfolio Sarimah sebagai pelakon.

Selama vakum dalam industri, Sarimah bagaimanapun enggan menggunakan perkataan ‘hilang’, dia lebih selesa menganggap dirinya berehat seketika terutama dalam bidang lakonan.

Bukan sengaja membiarkan peminat tertunggu-tunggu, Sarimah akui fokusnya ke arah radio memberi satu bonus apabila pengaruhnya melebar bukan hanya kepada peminat Melayu.

Selepas habis kontrak bersama Astro pada 2010, saya dipanggil Red FM untuk menjadi penyampai radio dan sejak itu saya berhijrah ke industri bahasa Inggeris.

“Semasa itu saya tidak boleh tolak tawaran radio kerana peluang yang baik dan dalam masa sama saya masih bujang serta mahu menyimpan duit untuk diri sendiri.

Selepas kontrak berakhir pada 2012, saya dapat pula tawaran dengan Mix FM selama dua tahun.

“Saya tidak hilang cuma tak muncul dalam industri bahasa Melayu sahaja. Saya gembira masuk radio, saya dapat kembangkan pecahan peminat kepada bangsa lain,” katanya kepada HibGlam.

Terdedah dengan khalayak bukan Melayu sepanjang bertugas di stesen radio bahasa Inggeris, Sarimah kini mengumpul peminat dalam kalangan orang Cina dan India.

Selepas mendirikan rumah tangga dengan Yang Mulia Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, fokus anak seni kelahiran Dublin, Ireland itu tumpah sepenuh perhatian terhadap keluarga.

“Pada penghujung 2015 pula saya berkahwin. Saya tinggalkan dunia penyiaran radio untuk fokus tanggungjawab kepada suami selama dua tahun.

Selepas itu saya mahu hamil tetapi saya buat beberapa kemunculan dalam bidang pengacaraan dan alhamdulillah 2018 saya mengandung.

“Saya bersalin sahaja terus Covid-19. Dua tahun saya tidak buat apa-apa,” ceritanya tentang naik turun kehidupan selama tempoh ‘berdiam’.

Sebagai wanita yang terbiasa bekerja, Sarimah tidak boleh goyang kaki. Dia aktif dengan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) semasa pandemik Covid-19.

“Dalam masa dua tahun, saya buat sesuatu bermanfaat iaitu terlibat dalam menyebarkan kesedaran terhadap kesihatan mental. Saya kerja dengan MIASA.

Dalam masa sama, saya juga sertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Empathy. Mereka sangat kecil tetapi bersemangat mewujudkan skil empati dalam masyarakat kita.

“Tidak dilupakan, saya sempat merakamkan lagu bersama Damien Mikael berjudul Harapan,” jelasnya.

Berguru dengan Gerry Grennell]

Sarimah juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan bagi memberikan kesedaran tentang kesihatan mental kepada masyarakat.

Disebabkan kerinduan terhadap lakonan, Sarimah mula mencari ilmu dan guru untuk kembali mengasah bakat yang lama ditinggalkan.

Dengan adanya waktu lapang semasa Covid-19, dia turut menyertai kelas lakonan bersama tenaga pengajar Gerry Grennell yang merupakan guru kepada pemenang pelakon Oscar iaitu Natalie Portman.

“Gerry Grennell iaitu tenaga pengajar Ireland yang pernah melatih Heath Ledger, Tom Cruise dan Marlon Brand.

Bukan sengaja memilih tenaga pengajar luar tetapi semasa Covid-19, saya tiada pilihan dan terpaksa berguru secara dalam talian.

“Dia pula dari Ireland iaitu negara mak saya,” kongsinya dengan teruja.

Berkongsi lanjut, Sarimah memaklumkan Gerry memang sangat selektif dalam soal penyertaan pelajar dek kredibiliti dan reputasi yang disandang.

“Dia tidak ambil semua orang sesuka hati. Saya cuba menghantar e-mel tetapi tiga bulan dia tidak jawab.

Tidak tahu apa kriteria pelajar yang dia mahukan tetapi saya perlu jalani sesi uji bakat. Saya perlu buat beberapa babak untuk dihantar kepadanya.

“Cara pembelajarannya memang sangat lain tetapi kita kena ambil apa yang diajar dan aplikasi dalam industri kita,” ujarnya.

Sarimah sanggup berhabis demi menggali ilmu lakonan dengan Gerry Grennell yang sebelum ini membimbing ramai bintang hebat Hollywood.

Ditanya mengenai kos, pelakon filem Apokalips X itu enggan mendedahkan jumlah dengan terperinci.

Saya boleh katakan memang sangat mahal. Secara purata, caj guru di luar negara boleh mencecah 300 euro (RM1,500) ke 1,000 euro (RM5,000) per jam.

“Namun, Gerry berbaik hati sebab mak saya orang sana, dia bagi pakej dia. Kalau tidak saya tak mampu,” kongsinya.

Sarimah menegaskan, segala kos untuk menyertai kelas lakonan ditanggung sendiri tanpa mengharapkan suami.

“Ada stigma mengenai status, kalau jadi Che Puan atau kerabat, duit bukan isu. Saya mahu nyatakan, saya pisahkan antara kerja dan isteri.

Segala yang saya buat untuk kerjaya adalah tanggungan saya dan tidak harapkan suami bayar kerana saya rasa tidak adil.

“Biarlah dia jadi suami dan bapa, fasal kelas lakonan, saya laburkan duit sendiri. Dalam perkahwinan, kita tidak boleh ambil kesempatan. Saya bayar sendiri kerana minat ini tiada nilai,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok