Rela dibenci, Hariz Hamdan sedia bawa babak ‘panas’ lagi

DIKECAM gara-gara beraksi seperti bercium dalam drama Bunga Salju, pelakon Hariz Hamdan tidak melatah sebaliknya menyifatkan kebencian penonton sebagai bukti lakonannya berkesan.

Pun begitu, Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 23, mengakui sentiasa cakna dengan segala kritikan dan komen membina terhadap lakonannya.

“Memang ramai kecam tapi saya ambil secara positif sebab apabila ada tak puas hati dengan watak antagonis yang saya bawa bermakna lakonan itu menjadi.

“Saya tidak melatah bahkan rasa puas sebab orang kecam dan benci saya kerana watak tersebut.

“Secara tidak langsung, segala kutukan membawa makna lakonan saya berhasil menyentuh emosi penonton,” katanya kepada HibGlam.

Profesional dalam menggalas setiap peranan, bekas peserta Hero Remaja itu tidak kisah andai perlu melakonkan babak panas demi menjayakan karakter yang diberikan kepadanya selepas ini.

Paling penting kata Hariz, jika elemen ‘mengundang’ dapat menguatkan lagi watak seterusnya sampai kepada penonton, dia tidak ada masalah menuruti kehendak skrip dan pengarah.

“Kalau dah pegang watak playboy, sudah tentu ada babak-babak ‘mengundang’ dan panas dengan perempuan.

“Saya tak kisah melakonkan babak seperti itu demi menghidupkan lagi karakter.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengikut kehendak pengarah asalkan watak tersebut berkesan ke hati penonton,” ujarnya.

Menerusi drama berkenaan, Hariz memegang watak sebagai kaki perempuan bernama Farouk yang gemar menimbulkan pelbagai masalah.

Watak tersebut menjadi bualan hangat penonton apabila tular babak seakan-akan sedang bercumbu dengan pelakon wanita yang dianggap keterlaluan untuk tontonan umum. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok