Rakaman paling best, kenangan terakhir Nabil Zamanhuri – Lah Ahmad

Antara sesi rakaman paling best dan paling banyak belajar daripada abang Lah.”

Itu mesej perbualan terakhir Allahyarham Nabil Zamanhuri kepada penyanyi Lah Ahmad pada Jumaat lalu. Tidak menyangka kiriman mesej tersebut menjadi kenangan terakhir antara mereka, Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad, 43, berkongsikan tangkap layar perbualan tersebut dalam Instagram.

Tidak sangka semalam itu mesej kau yang terakhir dekat abang. Selalu dalam ingatan” jelasnya.

Sebagai sahabat juga rakan seperjuangan dalam karier muzik, penyanyi lagu Kenapa itu turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang murah dengan senyuman.

Seorang sahabat yang sentiasa mengukir senyuman dalam apa jua keadaan sekali pun. Salam takziah buat sekeluarga,” katanya.

Dalam tangkap layar itu menunjukkan Allahyarham teruja berpeluang bekerjasama dengan Lah.

“Antara sesi rakaman paling best dan paling banyak belajar daripada abang Lah masa ini,” ujar Nabil.

Allahyarham Nabil menghembuskan nafas terakhir pada hari ini di Hospital Ampang, Selangor.

Difahamkan jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor.

Sepanjang hayat karier, Nabil pernah menyandang gelaran naib juara dalam program nyanyian Mentor musim pertama pada 2005.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Adelia Citra Hapsari dan dua anak perempuan itu turut dikenali menerusi lagu Kenangan Lama, Hati Ini, Selangkah dan Beku. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok