MENJANA pulangan lumayan menerusi laman sosial, pempengaruh Kasih Iris Leona mendedahkan pernah meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.
Katanya, seseorang pensohor dan pencipta kandungan sepenuh masa mampu menikmati pendatapan tinggi bergantung kepada tahap populariti serta konten masing-masing.
“Seingat saya ketika menjadi ‘influencer’ sepenuh masa, saya boleh dapat sekurang-kurang RM20,000 hingga ke RM30,000 sebulan.
“Tetapi pendapatan itu bergantung juga kepada populariti seseorang pempengaruh sama ada dia relevan dan sebanyak mana konten dihasilkan,” katanya dalam sebuah podcast atau audio siar.
Menurut anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu, sejak melanjutkan pengajian di United Kingdom, dia mula mengurangkan aktiviti sebagai pencipta kandungan.
“Sekarang saya sudah sambung pengajian di UK dan buat kerja ini di sana, jadi saya tidak dapat sebanyak sebelum ini,” ujarnya.
Begitupun, Kasih Leona, 22, kemudian menarik balik kenyataan awalnya dengan membetulkan anggaran jumlah sebenar yang diperolehi.
Bahkan secara berseloroh dia meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jangan memburunya hanya disebabkan pendapatan yang pernah diperolehi sebelum ini.
“Mungkin bukanlah RM30,000 tapi RM10,000 ke RM20,000, tapi (LHDN) janganlah datang cari saya dan kenakan cukai pula.
“Sebab saya sedang sambung pengajian di UK dan dah tidak raih sebanyak itu lagi. Jangan datang atau DM (mesej) saya tanya,” katanya secara berseloroh.
Kasih Leona kini memiliki sejuta pengikut aplikasi TikTok dan 500,000 pengikut Instagram selain lebih 100,000 pelanggan (subscribers) menerusi saluran YouTube.
Gadis yang mempunyai kelompok peminat tegar itu memiliki populariti setara artis malah banyak hantaran atau videonya meraih perhatian sehingga tular. – HIBGLAM