Persoalan yang tiada jawapan – Bekas isteri Hisyam Hamid

MENYIMPAN kemas punca perpisahan, bekas isteri pelakon Hisyam Hamid, Rosmawati Hanafi menyifatkan perceraian adalah kehilangan berat yang mempunyai hikmah di sebaliknya.

Ujar Rosmawati atau Mel, 42, dia sendiri tidak mempunyai jawapan atas ujian yang berlaku namun setiap pengalaman jatuh bangun dilalui menjadikannya wanita berjiwa kental.

“Semua yang berlaku pasti bersebab. Setiap patah hati dan kekecewaan membawa rahmat yang tersembunyi.

“Saya mungkin berasa kehilangan sekarang, bergelut dengan persoalan yang seolah-olah tiada jawapan.

“Melalui 1,000 perkara dalam hidup yang orang tidak tahu. Saya mengalami perkara yang menggoncangkan, mengubah, menghancurkan, membina dan mengajar saya lebih kuat daripada yang pernah saya fikirkan,” katanya menerusi Instagram.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, walau dirundung kesedihan, detik luka dilalui pasti akan terubat seiring peredaran waktu.

“Hati saya mungkin terluka sekarang, tapi perasaan ini tidak akan kekal lama. Hati saya akan pulih semula pada masa yang terbaik.

“Namun buat waktu ini, sudah tiba masanya untuk menjadi lebih kuat, reda dan sembuh dengan segala ketentuan serta memperbaiki diri.

“Allah akan membuat hati ini tersenyum kembali,” ujarnya.

Sebelum itu bertebaran desas-desus mendakwa Hisyam dan Mel sudah bercerai sejak setahun lalu namun pelakon Ariana Rose itu belum sedia membuat pendedahan.

Kelmarin, aktor asal Singapura itu mengesahkan mereka memang telah berpisah dan lebih selesa menjadi kawan baik.

Menerusi perkongsian hidup selama 18 tahun, pasangan terbabit
dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 17, dan Haydeen, 15. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok