Pasang ‘bodyguard’, Ella rasa lebih selamat

KERAP bergerak ke seluruh pelosok tanah air memenuhi undangan pentas, ratu rock negara Ella menggunakan khidmat pengawal peribadi bagi melancarkan urusan.

Kata Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 58, selain kakaknya, Jojie, sejak bertahun-tahun dia sudah ditemani individu kepercayaan bagi memastikan keselamatan terjaga sepanjang bekerja.

“Sebenarnya saya sudah lama pasang bodyguard (pengawal peribadi) yang juga jurulatih senaman. Sambil jaga keselamatan, dia turut membantu hal ehwal rutin senaman.

“Sebelum ini pun ke mana-mana sahaja saya sentiasa ditemani Jojie, penata rias serta pengawal peribadi dan suami jika dia tiada urusan lain.

“Ini lebih kepada soal keselamatan memandangkan saya perlu banyak bergerak memenuhi undangan ke beberapa lokasi, lebih lancar dengan adanya bodyguard,” katanya kepada HibGlam,

Menurut penyanyi yang sudah empat dekad dalam industri muzik itu, dia menggunakan khidmat pengawal peribadi bukan mahu menunjuk-nunjuk status.

Sebaliknya, kata Ella, suaminya, Azhar Husaini Ghazali turut menyarankan lebih baik mendapatkan bantuan mereka yang profesional kerana tiada kompromi dalam soal keselamatan.

“Tidaklah bermakna saya pernah berhadapan situasi berbahaya atau enggan didekati peminat kerana selama ini pun ramai tak perasan adanya mereka di sekeliling saya.

“Peminat saya juga berhemah, ada bodyguard macam saya cakap membantu melicinkan urusan logistik.

“Biasanya ada dua orang akan temani kami ke majlis, tengok kepada keperluan kerana kalau konsert sudah tentu perlukan tenaga lebih ramai,” ujarnya ketika ditemui pada pengumuman konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, baru-baru ini.

Sementara itu mengenai konsert, persembahan mega yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary KLCC pada 9 Ogos nanti adalah susulan kejayaan siri jelajah mega Jilid Akhir : Ella Puteri Kota.

“Saya akan menyanyi sambil diiringi band dan pemuzik orkestra, konsert itu juga bakal menyaksikan saya menyanyikan lagu asli.

“Akan ada beberapa lagu asli yang bakal saya dendangkan dan ia juga bukan karya pernah dirakamkan sebelum ini. Muziknya digubah semula dalam bentuk ‘rockestra’,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok