Ogy bengang dengan pempengaruh biadab, tiada bakat

Tidak serius dan kurang rasa hormat, pelakon senior Fauziah Ahmad Daud meluahkan kekecewaan dengan sikap segelintir pempengaruh yang baru berjinak-jinak dalam dunia seni.

Ujar Fauziah, 61, dia pernah berdepan dengan dua pensohor media sosial yang dianggap tidak mempunyai rasa hormat terhadap pelakon senior dan kru produksi

Saya sangat kecewa kerana baru-baru ini saya berhadapan dengan dua orang pempengaruh.

“Saya cakap dengan dia, ‘kau menyusahkan kakak di set’. Sebab orang sibuk buat persiapan, dia sibuk dengan buat siaran langsung. Itu sangat biadab.

“Dia tidak menghormati pengarah, mereka yang di belakang tabir, malah tidak menghormati peluang yang diberikan kepada mereka,” katanya dalam sebuah video bual bicara.

Kata pelakon filem Azura itu, seorang pelakon baharu perlu mengikuti bengkel lakonan agar mereka diberi pendedahan dan asas berlakon selain memupuk rasa tanggungjawab sebagai anak seni.

Bercakap di telefon sangat berbeza bercakap dengan kamera, sebab di set awak bukan melakonkan watak awak, awak melakonkan watak orang lain.

“Kalau awak nak berlakon tak mengapa, kami tak ada hak untuk menutup pintu rezeki orang. Tapi kenapa tidak mengambil inisiatif untuk menghadirkan diri memasuki bengkel?.

Awak tak perlu ambil tahu apa itu berlakon, tapi apa yang awak kena tahu adalah apa itu tanggungjawab seorang pelakon,” ujarnya panjang lebar.

Semakan HibGlam  menerusi ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan pelakon filem Ali Setan itu dan menyifatkan segelintir pempengaruh tidak sensitif dengan situasi sekeliling.

Ini bukan kali pertama perkara sebegini berlaku, sebelum ini ramai penggiat seni veteran bersuara mengenai bakat baharu kurang rasa hormat kepada orang sekeliling dan hanya masuk industri untuk mengejar glamor semata-mata. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok