KHALAYAK sedia maklum bahawa deretan idola K-pop hadir ke industri seni dengan berbekalkan kemampuan berkomunikasi dan bersosial yang disiapsiagakan sebelum mereka debut.
Mana tidaknya, perkara tersebut menjadi tunjang karier mereka untuk mudah didekati dan tidak dicop sombong oleh peminat mahupun pemain industri lain.
Pun begitu, terdapat segelintir idola yang menghadapi fasa sukar untuk bersosial kerana hakikatnya sikap asli mereka sebenarnya sangat introvert (sukar bersosial).
Disebabkan itu, Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa idola K-pop berbeza peribadi dalam dan luar waktu bekerja.
Suga
Siapa sangka di sebalik keriangan dipamerkan anggota kumpulan BTS itu, dia sebenarnya sangat pemalu dan tidak mahu terlalu menonjol.
Perkara tersebut dapat dilihat apabila idola berusia 31 tahun itu memilih untuk duduk di belakang dan memperhatikan anggota lainnya saat mereka sedang melakukan aktiviti promosi mahupun dalam penggambaran apa-apa program televisyen.
Tidak menyangkal kenyataan tersebut, jejaka tampan itu pernah menjelaskan kepada peminat bahawa dia lebih selesa berehat atau melakukan kerja di rumah berbanding keluar bersesak dengan ramai orang.
Pun begitu, meskipun dia seorang yang introvert, namun cinta dan sayangnya kepada peminat yang dikenali sebagai Army tidak pernah berkurang.
Mina
Anggota kumpulan Twice itu sememangnya terkenal dalam kalangan peminat dengan sifat pemalunya.
Mana tidaknya, setelah menjalani beberapa aktiviti dan promosi album, idola berusia 27 tahun itu terpaksa direhatkan seketika kerana diserang masalah anxiety disorder (kesesahan melampau)
Lama tidak muncul, agensinya mengumumkan bahawa dia tidak akan mengikuti sebarang jelajah, aktiviti mahupun promosi album tersebut kerana disebabkan masalah tersebut.
Setelah mendapatkan rawatan daripada pakar kesihatan, mentalnya dilaporkan semakin baik dan boleh melakukan kerja seperti biasa, namun perlu dikawal setiap masa.
Irene
Tidak tertinggal dalam senarai Kimchi Panas adalah ketua kumpulan Red Velvet, Irene yang pada awal kemunculannya dalam industri muzik dikenali sebagai seorang yang sangat pemalu dan pendiam.
Menerusi sebuah rancangan temu bual, idola berusia 33 tahun itu mengakui dia lebih gemar duduk berseorangan dan melakukan apa jua kerja seorang diri.
Entah mengapa sebabnya, wanita jelita itu berasa rimas dan tidak selesa jika berada di tempat yang sesak dan penuh dengan orang ramai.
Namun seiring waktu bergulir, dia mulai sedar bahawa sangat penting untuk bersosial dan tidak sepatutnya membiarkan dirinya dibelenggu rasa malu apatah lagi kini memegang status sebagai idola yang dikenali ramai.
Taeyeon
Meskipun dilihat gah dan mega di atas pentas dengan kelincahan yang dipamerkan, anggota kumpulan Girls’ Generation itu sebenarnya sangat pemalu sejak menjadi idola pelatih lagi.
Wanita berusia 35 tahun itu mengakui melalui fasa sukar dan sentiasa dihantui rasa gementar apabila perlu berhadapan dengan kamera, media dan peminat.
Enggan membiarkan perkara tersebut mengganggu imejnya sebagai idola, dia mengambil keputusan untuk melawan rasa malu itu dan berlatih untuk menjadi seorang yang peramah dan cuba bergaul dengan semua orang. – HIBGLAM