Nama ‘dijentik’, Awal Ashaari persoal motif Wardina Safiyyah

BERANG nama dipetik sesuka hati dengan dakwaan tidak menyokong Palestin, pengacara Awal Ashaari menyelar tindakan pelakon Wardina Safiyyah yang dianggap cuba mencetuskan rasa kebencian orang ramai terhadap segelintir selebriti tanah air.

Awal meluahkan rasa ketidakpuashatian tersebut apabila Wardina memuat naik beberapa nama artis lain termasuk dirinya dan isteri, Scha Alyahya dalam Instagram semalam sedangkan mereka tidak saling mengenali secara peribadi.

Mencipta kebencian, cuba memecah belahkan kami dengan netizen menggunakan paksi agama dan isu Palestin yang ternyata berlarutan sejak dahulu.

“Apa motif beliau? Saya terkilan kerana beliau sendiri pernah bergelar artis dan pernah menjadi duta beberapa jenama “Israhell” seperti yang ditegaskan oleh beliau. Kenapa sekarang?” katanya.

Tambah belas pengacara Melodi itu, tindakan Wardina itu bukan cara terbaik untuk berdakwah kerana mencipta permusuhan dalam kalangan rakyat negara ini.

Dia juga berpendapat Wardina tidak memahami kesukaran segelintir anak seni yang mencari rezeki bagi kelangsungan hidup.

“Ada cara yang lebih baik untuk berdakwah atau mencipta gerakan tetapi bukan dengan mencipta kebencian, memecahbelahkan rakyat Malaysia dan menabur pasir dalam periuk nasi kami anak seni yang rata-rata berjuang dalam mencari pendapatan bagi menyara banyak mulut di rumah.

Kami ada anak-anak yang tak berdosa, Ada keluarga yang perlu disara, adik beradik bergantung hidup dengan kami serta mempunyai pekerja yang berkeluarga yang perlu digaji.

“Ada tanggungjawab kepada negara yang perlu kami langsaikan. Bukan macam akak, duduk di luar negara luar dan tidak tahu kesusahan kami di sini tetapi mencipta kebencian untuk memecahbelahkan kami di Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia turut menitipkan pujian kepada segelintir selebriti yang masih terus lantang menyebarkan solidariti tentang Palestin tanpa perlu mencipta kebencian terhadap individu lain.

Pujian buat rakan-rakan yang tak berhenti berjihad untuk Palestin, sokong, doa, derma dan hadirkan diri dalam misi-misi di Gaza namun tidak pernah sekelumit pun berdendam dengan orang yang mungkin tidak sehaluan dengan cara mereka.

“Kita semua ada cara masing-masing dalam membantu dan mencipta kesedaran.

Tak kongsi bukan bermaksud tidak prihatin. Tak derma bukan bermaksud tak simpati dan tak bantu bukan tidak berdoa.

“Semoga Allah SWT merahmati usaha kita semua. Doa buat saudara saudara Islam kita dimana berada,” katanya panjang lebar.

Terdahulu, nama Awal dan Scha muncul dalam InstaStory Wardina yang juga berada dalam highlight (kategori) artis perlu disekat kerana tidak bersuara tentang isu Palestin menerusi platform media sosial mereka.

Sejak beberapa hari lalu, wujud gerakan Blockout2024 dalam media sosial bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka.

Antara nama besar yang diboikot ketika ini ialah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga, dan Justin Bieber.

Netizen Malaysia juga turut tidak ketinggalan menyuarakan hal sama dan menyenaraikan beberapa nama selebriti dikatakan masih mempromosikan produk serta jenama yang menyokong Israel dalam media sosial.

Selain Awal yang turut tersenarai, nama artis tempatan yang disebut ialah Mira Filzah, Eyka Farhana, Nabila Razali, Ameera Khan dan Neelofa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok