Nabila Razali ‘simpan’ kisah rumah tangga

AKUR dengan nasihat suami, penyanyi Nabila Razali selesa menyimpan kemas hal rumah tangga daripada berkongsi dalam media sosial.

Ujar Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd. Razali, 31, mereka saling menerima kekurangan diri yang tidak perlu dijaja kepada umum.

“Sebagai manusia, saya juga lakukan kesilapan tapi berusaha menjaga hal rumah tangga yang lebih baik disimpan sendiri dengan suami apatah lagi kami baru berkahwin.

“Saya masih lagi belajar alam rumah tangga. Apa yang perlu saya ambil ambil tahu dalam perkahwinan adalah sakinah, mawaddah dan rahmah,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya kemelut rumah tangga membabitkan selebriti lain, penyanyi lagu Peluang Kedua itu enggan mengulas hal ‘dalam kain’ orang lain.

Katanya, tiada keperluan untuk menyentuh perkara yang dia sendiri tidak tahu lebih-lebih lagi membabitkan dugaan dalam perkahwinan.

“Suami sentiasa ingatkan saya, ujian dalam rumah tangga orang lain juga ujian untuk kita menahan diri daripada berkata-kata tentang orang lain.

“Apabila isu rumah tangga artis selalu keluar di ‘feed’ laman sosial, kita kena kawal mulut, mata dan telinga.

“Lain orang lain dugaannya. Isu sebegini boleh berlaku kepada sesiapa pun, bukan sahaja selebriti. Sebab itu kita perlu berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai jurucakap produk Bougas, baru-baru ini.

Nabila bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 39, pada 18 November tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok