BERSYUKUR masih meraih kepercayaan jenama serta syarikat pengeluar barangan dan perkhidmatan, Nabila Razali menyifatkan rezeki tidak putus yang diperoleh adalah berkat doa ibu serta restu suami.
Pemilik nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 32, itu mengakui awal dulu masih mencari rentak antara komitmen kerjaya seni dan duta produk dengan tanggungjawab baharu sebagai isteri.
Suami sabar, memahami
Namun, kesabaran serta sikap memahami teman hidupnya, Nik Iruwan Nik Izani, 39, disifatkan mampu melancarkan semua urusan peribadi dan karier.
Begitupun, akui Nabila yang mesra disapa Bella, kepercayaan diberikan suami tidak dipersia-siakan, bahkan setiap perkara mahupun tawaran tetap dimaklumkan kepada imamnya itu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dalam rumah tangga memang kena saling menerima kekurangan, selain banyak bertolak ansur.
“Mungkin sikap suami yang lebih matang membuatkan kami cepat serasi. Bahkan, dia sangat memahami jadual kerja saya yang tidak menentu.
“Tiada pun syarat atau peringatan mengenai kerja, sebaliknya suamilah pendorong utama selain keluarga serta peminat. Doa semua buatkan rezeki saya terus mengalir,” katanya kepada HibGlam.
Rezeki lepas kahwin
Mengakui rezeki mencurah-curah termasuk diajukan tawaran mewakili jenama produk kekeluargaan, sekali gus mengukuhkan lagi namanya sebagai antara selebriti kesayangan ramai.
Namun, Nabila enggan mengambil kesempatan kerana baginya, sesibuk mana pun urusan rumah perlu disempurnakan sebelum keluar bekerja.
Suaminya yang turut mempunyai jadual padat menguruskan perniagaan juga ringan tulang menolong menguruskan hal domestik.
“Pokok pangkalnya kerjasama. Suami pula bukan jenis cerewet, kerja rumah pun dia boleh buat kalau setakat mengemas atau sediakan masakan mudah.
“Soal makan pun kami lebih suka yang simple, jadi setakat alas perut memang ‘lepas’. Tak perlu runsingkan diri dengan hal remeh.
“Mujur suami juga sentiasa memberi pesanan. Kiranya kami saling mengingatkan antara satu sama lain,” kongsinya sambil tertawa.
Jaga pekerti
Dalam berjenaka, pelantun lagu Peluang Kedua itu berkongsi pesanan suami supaya sentiasa menjaga pekerti serta kata-kata bagi mengelakkan salah faham.
Malah, ingatan juga menjurus kepada perkongsian perkara dalam laman sosial terutama berkaitan rumah tangga yang tidak perlu dijaja kepada umum.
“Sebagai manusia, saya juga lakukan kesilapan tapi berusaha menjaga hal rumah tangga yang lebih baik disimpan sendiri dengan suami, tambahan pula kami baru beberapa bulan berkahwin.
“Saya masih lagi belajar alam rumah tangga. Apa yang perlu saya ambil ambil tahu dalam perkahwinan adalah sakinah, mawaddah dan rahmah.
“Komunikasi antara pasangan paling utama, bukan meluahkan perasaan dalam Instagram atau platform lain,” kongsinya lagi.
Ditanya kemelut rumah tangga membabitkan selebriti lain, artis yang mudah mesra itu enggan mengulas hal ‘dalam kain’ orang lain.
Rumah tangga orang
Katanya, tiada keperluan untuk menyentuh perkara yang dia sendiri tidak tahu lebih-lebih lagi membabitkan dugaan dalam perkahwinan.
“Suami sentiasa ingatkan saya, ujian dalam rumah tangga orang lain juga ujian untuk diri kita menahan diri daripada berkata-kata tentang orang lain.
“Bila kita tengok isu kemelut rumah tangga seseorang artis itu selalu keluar di feed laman sosial, kita kena kawal mulut, mata dan telinga kita.
“Lain orang, lain dugaannya. Isu sebegini boleh berlaku kepada sesiapa pun, bukan sahaja selebriti. Sebab itu kita perlu berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai jurucakap produk Bougas.
Pada masa sama, Nabila yang bergelar isteri kepada ahli perniagaan pada 18 November tahun lalu itu mengakui mencuba dulu sesuatu produk sebelum menerima sebarang tawaran menjadi duta atau jurucakap.
“Biar apa pun tawaran atau angka diajukan, saya enggan mudah gelap mata. Perlu cuba dulu sebelum pertimbangkan,” katanya menutup bicara. HIBGLAM