Nabi tak ajar kita bersikap kasar, bengis – Aqasha

PENGGUNAAN kata-kata kesat penyokong gerakan Blockout 2024 terhadap artis dianggap tidak mencerminkan sahsiah yang murni dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Pandangan itu dinyatakan pelakon Aqasha, 41, yang menyelar tindakan individu yang sanggup mencaci dan menggunakan perkataan kasar sebagai tanda sokongan terhadap Palestin.

Aqasha turut menafikan dakwaan mengatakan dirinya penyokong Israel dan tidak mempedulikan kekejaman Zionis ke atas rakyat Palastine selepas mempersoalkan tindakan menyahikut selebriti serta pempengaruh yang tidak menunjukkan solidariti kepada Palestin hari ini.

Saya tidak pernah menyokong Israel. Saya tidak menggunakan atau menjadi perwakilan produk yang menyokong Israel. Saya mengeluar kenyataan itu kerana berasa terpanggil dengan entri seorang artis yang mempamerkan senarai nama artis yang perlu diboikot.

“Saya bukan bercakap mengenai artis yang menjadi tali barut Israel tetapi kita sedang bercakap mengenai apa kurangnya tolenrasi sesama Islam. Adakah perkara (boikot) ini satu tuntutan nabi kita,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di Instagram.

Dalam masa sama, Aqasha turut menasihati orang ramai agar menjaga abad dan menggunakan pendekatan yang lebih rasional sekali gus tidak menjatuhkan maruah sebagai seorang muslim.

Bahkan dia juga berkata, pengguna media sosial sebelum ini tidak memberi perhatian terhadap dirinya saat bercakap tentang kekejaman Israel di platform digital miliknya.

Kalau kita tidak menjaga lidah, tiada gunanya hal lain yang kita buat kerana kita perlu bertanggungjawab dengan apa yang kita cakap di Padang Mahsyar nanti.

“Ini sesuatu perkara yang tidak sihat untuk mengeluarkan kata sebegitu kepada orang lain. Adakah nabi kita mengajar agar bersikap kasar dan bengis dengan orang lain?

Jangan jadikan ini sebagai satu budaya kerana jika begini masyarakat kita, maka pemimpin di masa hadapan pun akan bersikap sebegini kerana mereka pun berada dalam kelompak itu,” katanya.

Sebelum ini, pelakon filem Man Laksa itu memuat naik video di ruangan Insta Stories mempersoalkan tindakan memboikot selebriti yang tidak menunjukkan sokongan kepada Palestin.

Malah, Aqasha juga difahamkan meminta agar orang ramai tidak mempersoal keputusan individu lain mempamerkan sokongan atau sebaliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok