PERTAMA kali bergandingan dengan aktor senior, Datuk Aaron Aziz membuatkan degup nadi aktres Mimi Lana bergerak kencang.
Masakan tidak, dia sendiri tidak menyangka dapat bekerjasama dengan susuk yang sangat dihormatinya itu dalam filem terbaharu, The Experts.
Bagi Mimi, pesona Aaron yang kelihatan ‘abang-abang’ membuatkan jiwa wanita anak kelahiran negeri Perak itu sedikit gementar untuk berbicara dengan bapa tiga anak itu sekali gus mewujudkan sinergi lakonan antara mereka.
Hormat
Situasi itu berbeza dengan dua lagi gandingan lain dalam filem arahan Andre Chiew dan Nazim Shah iaitu Remy Ishak dan Syafiq Kyle.
Keserasan itu paling susah dengan Aaron. Bukan sebab dia susah untuk didekati, tetapi disebabkan imej dia yang agak serius dan juga ‘orang lama’ dalam industri, jadi hendak bertegur sapa itu agak takut sedikit.
“Tetapi setelah beberapa kali sesi latihan bersama, perasaan takut itu mula terbiasa. Berbeza dengan Syafiq dengan Remy kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini,” katanya.
Melanjutkan bicara mengenai filem baharunya itu, kongsi Mimi, dia menghabiskan masa sekitar setahun untuk ‘buat badan’ semata-mata ingin menghidupkan watak Emma.
Jelasnya, tidak hanya itu, dia sendiri sanggup mengorbarkan ‘mahkota’ kewanitaannya iaitu memotong rambut pendek.
“Ketika penggambaran berat badan saya kira-kira 55 kilogram (kg) dan perlu menghabiskan banyak masa di gim agar bentuk badan kelihatan tegap.
Untuk watak ini juga saya tiada masalah untuk memotong rambut. Kemudian selepas memotong rambut, saya rasa tak boleh terima dan menangis kerana berambut pendek dengan gaya mullet.
“Selepas memotong rambut, setiap pagi bangun daripada tidur saya rasa tidak boleh terima dan menangis sehingga saya berasa seperti bukan diri sendiri,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Selain bentuk fizikal badan dan gaya rambut, Mimi juga perlu tampil dengan gaya lasak dengan gabungan maskulin dan feminin sementelah watak Emma merupakan satu-satunya anak perempuan dalam lima adik-beradik.
Bagi saya watak Emma ini sedikit kelelakian, pandai berlawan, boleh berlumba kereta. Lagipun dia juga dikelilingi oleh abang lelaki.
“Jadi, mungkin aneh sedikit kalau dalam persekitaran begitu, dia berwatak feminin. Tetapi, apabila ada waktu-waktu yang diperlukan, sisi kewanitaan itu akan terserlah,” ujarnya.
Filem genre aksi komedi terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Zak Capital dan TGV Pictures itu memulakan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 23 Mei.
Barisan pelakon lain yang turut terlibat adalah Ray Dap Dap, Hasnul Rahmat dan Maya Karin. – HIBGLAM