‘Mild depression’, Dina Nadzir hilang kawan

PENYANYI dan penyampai radio, Dina Nadzir mendedahkan pernah melalui fasa hilang kawan ketikan berdepan masalah kemurungan ringan atau mild depresiion sejak tahun lalu.

Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 39, berkata, perkara itu berlaku selepas dia kerap menghubungi teman rapat untuk berkongsi masalah yang dilalui namun dianggap merimaskan.

Saya memang hilang beberapa kawan yang sebelum ini rapat sebab mereka tak faham dan rimas. Bila saya hubungi, mereka akan persoalkan kenapa nak mesej dan telefon setiap hari.

“Ada yang suruh saya minta bantuan pakar tetapi apabila kemurungan menyerang pada pukul 2 atau 3 pagi, siapa saya nak hubungi? Itulah masa kita tahu siapa kawan, siapa yang sanggup bersusah dengan kita,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujar penyampai radio Sinar FM itu, kemurungan membuatkan fikirannya bercelaru, sukar fokus dan gelisah malah pelbagai ikhtiar sudah dilakukan.

Saya diserang kemurungan tahun lalu, bangun tidur tiba-tiba menangis tanpa sebab dan rasa tak mahu pergi kerja. Kemudian, sekitar bulan Mac lalu, berulang lagi.

“Masih ada rasa sedih, sunyi, berduka tapi setiap kali berlaku, saya akan hubungi orang terdekat.

Adakalanya apabila orang bercakap dengan saya, fikiran pergi tempat lain. Tak tenang, nak solat pun, rasa resah

“Kini saya dalam fasa memulihkan diri dan mental tetapi tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, hanya rujuk pakar kesihatan mental,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga dalam usaha mengubah gaya hidup bagi membantu mengatasi masalah kemurungan.

Jadi, langkah pertama saya lakukan untuk rawat kemurungan adalah mengubah hal yang saya tidak berkenan mengenai diri sendiri.

“Saya mula mencuba banyak aktiviti luar seperti bersenam selain mengamalkan diet sihat dan mengubah penampilan termasuk potong rambut. Semua itu bantu fikiran saya ‘segar’ semula,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok