Michelle Yeoh terima ‘Medal of Freedom’ daripada presiden Amerika Syarikat

EMPAT dekad beraksi dalam seni lakon, bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh dianugerahkan Pingat Kebebasan (Medal Of Freedom) daripada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden di White House, Washington, semalam.

Menariknya, anugerah itu diberikan kepada Michelle atau nama sebenarnya Michelle Yeoh Choo Keng, 61, selepas wataknya sebagai Evelyn Wong dalam naskhah Everything Everywhere All at Once berjaya memberi impak besar kepada khalayak.

Biden, 81 dalam ucapannya berkata, lakonan berkesan Michelle dalam filem terbabit berjaya memecahkan stereotaip meliputi jantina, budaya dan bahasa.

Bukan itu sahaja, Biden percaya Michelle telah memberi banyak inspirasi kepada orang ramai dengan sumbangannya melalui dunia lakonan.

“Tidak kira di dalam mahupun luar skrin, Michelle berjaya meleburkan stereotaip sesetngah pihak sekali gus memperkaya serta meningkatkan budaya Amerika.

“Lakonannya melangkaui jantina, budaya dan bahasa. Daripada seni mempertahankan diri, sehinggalah ke genre komedi romantis serta sains fiksyen, semua itu memberi refleksi bahawa segalanya mempunyai persamaan dan hubungkait.

“Sebagai pelakon Asia pertama memenangi Oscar merangkap pelakon terbaik, dia merapatkan budaya bukan sahaja untuk menghiburkan, tetapi juga memberi inspirasi kepada sekian ramai orang. Tahniah!,” katanya.

Pada 23 Mac 2023, Michelle mencipta sejarah apabila menjadi wanita Asia dan Malaysia pertama memenangi Anugerah Oscar menerusi lakonannya dalam filem arahan sutradara hebat, Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu.

Selain Michelle, terdapat 18 individu ternama yang turut mendapat pingat tersebut, antaranya ahli politik Nancy Pelosi, bekas Senator Elizabeth Dole, bekas Naib Presiden Al Gore, Setiausaha Negara John Kerry dan mantan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok