PENYANYI kontroversi, P. Diddy membuat permohonan maaf secara terbuka selepas video memukul bekas kekasih, Cassie Ventura tular dalam media sosial.
Diddy atau nama sebenarnya Sean John Combs, 48, mengakui kesalahannya dengan menegaskan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku. Sangat sukar untuk mengingati peristiwa hitam dalam hidup, tetapi ada ketika kita kena lakukan juga. Saya akui, apa yang berlaku itu sangat teruk.
Sekarang saya berada pada titik terendah dalam hidup tetapi itu bukan satu alasan. Kelakuan saya dalam video tersebut sangat tidak boleh diterima.
“Saya mengambil segala tanggungjawab untuk segala kelakuan saya dalam video itu,” ujarnya menerusi hantaran video dalam Instagram.
Terkesan dengan kejadian tersebut, pelantun lagu Victory itu mengakui berasa jijik dengan kelakuan sendiri selain mendakwa telah mendapatkan bantuan pakar terapi.
“Saya berasa jijik ketika melakukannya. Hingga sekarang pun saya masih rasa begitu. Saya telah mendapatkan bantuan profesional, pergi terapi dan masuk pusat rawatan.
Saya juga memohon agar Tuhan memaafkan saya. Saya benar-benar mohon maaf. Pada masa sama, saya komited untuk memperbaiki diri menjadi insan lebih baik setiap hari.
“Saya minta maaf,” ujarnya dalam nada kesal.
Terdahulu, sekitar minggu lalu, Diddy mengejutkan ramai peminat menerusi penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel yang memaparkan tindakannya memukul Cassie.
Rakaman video yang diambil sekitar 2016 itu membuktikan dakwaan Cassie yang mengatakan dirinya menjadi mangsa keganasan adalah benar.
Menerusi video berkenaan, Cassie yang kini berusia 28 tahun dilihat berjalan membawa beg pakaian keluar dari bilik hotel di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Ketika berjalan menuju ke lif, Diddy pula berlari ke arahnya dengan hanya memakai tuala dan berstokin.
Diddy kemudian menarik baju Cassie dan menolaknya ke lantai.
Tidak cukup dengan itu, Diddy juga dilihat menendang Cassie sebelum mengheret penyanyi itu masuk kembali ke bilik hotel.
Kes antara mereka sebelum ini menjadi bualan apabila Cassie mendedahkan perbuatan zalim Diddy terhadap dirinya termasuk dipaksa melayan nafsu ramai lelaki.
Kedua-duanya bagaimanapun bersetuju menyelesaikan secara tertutup tanpa melibatkan perbicaraan mahkamah.
Ini bukan pertama kali penyanyi antarabangsa itu terpalit kontroversi. Pada Februari lalu, penerbit dan komposer Rodney ‘Lil Rod’ Jones memfailkan saman selepas mendakwa Diddy melakukan serangan seksual terhadapnya.
Jones mendedahkan Diddy memaksanya melakukan hubungan seks dengan pelacur tanpa kerelaannya.
Jones turut menyatakan bahawa dia seringkali menjadi mangsa gangguan seksual oleh Diddy sejak tinggal bersama rappers itu pada 2022 yang kerap merabanya dalam bilik mandi.
Bukan itu sahaja, video lama penyanyi berkenaan bersama bintang ternama Hollywood yang berusia 15 tahun ketika itu telah kembali tular.
Lebih teruk, Diddy berdepan tuduhan pengantunan seksual (sexual grooming) yang melibatkan penyanyi lagu Baby itu dan beberapa nama lain. – HIBGLAM