GANDINGAN sulung penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun bersama ikon dikir barat, Halim Yazid pada Konsert Zikir Dikir telah menempa kejayaan luar biasa apabila menarik seramai 1,000 penonton.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu Jumaat lalu, konsert tersebut menerima respons positif dan ramai yang tidak sabar menanti penganjurannya pada masa akan datang.
Hafiz selaku penganjur dan penyanyi utama pada konsert berkenaan meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih pada sokongan yang diterima.
Kata Hafiz, dia juga berpuas hati dengan kerjasama diberikan semua pihak termasuk Halim yang turut bertindak sebagai penyanyi utama.
“Kalau diikutkan, idea untuk mengadakan konsert ini timbul pada Januari lalu. Sejurus selepas sidang media, saya dan pasukan bekerja keras untuk memastikan konsep baharu konsert ini dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya perhatikan komitmen yang diberikan Halim selaku artis utama pada konsert berkenaan memang di luar jangkaan saya. Sangat menyenangkan dapat bekerjasama dengannya,” katanya.
Tujuan mengundang Halim adalah demi memartabatkan penyanyi legenda yang banyak berjasa dalam mengkomersialkan muzik dikir barat.
Hafiz berkata, penonton konsert masa kini perlu disajikan dengan pelbagai konsep menarik seperti yang dilakukannya iaitu menggabungkan elemen nasyid dan dikir barat.
“Walaupun saya tahu di luar sana ada pelbagai persembahan hiburan, tetapi yang mengangkat elemen Islamik tidak banyak. Konsep sebegini tidak ada kurangnya, cuma yang penting kandungan positif dapat diketengahkan.
“Jadi, saya ucapkan terima kasih semua yang memberikan sokongan terhadap konsert ini termasuk Kementerian Komunikasi dan kumpulan MyCreative Ventures,” katanya.
Atas kejayaan itu, Hafiz memberitahu, dia selaku penganjur tidak menolak kemungkinan bakal menganjurkan Konsert Dizir Zikir di sekitar Lembah Klang pada masa akan datang.
“Insya-Allah, saya juga dalam perancangan untuk membawa konsert seterusnya ke Lembah Klang dengan persembahan yang berbeza dalam skala lebih besar.
“Walaupun penganjuran di Kuala Terengganu berdepan beberapa cabaran, tetapi kami tetap berjaya mengatasinya dan melaksanakan konsert dengan baik. Jadi, saya harap konsert seterusnya di Lembah Klang akan berjalan lancar,” katanya.
Terdahulu, Konsert Zikir Dikir dibahagikan kepada tiga segmen iaitu kerohanian, kebudayaan dan zikir dikir. Menerusi segmen ketiga, Hafiz dan Halim berkolaborasi mendendangkan lagu dengan diiringi pemuzik secara langsung (live).
Pada Konsert Zikir Dikir yang berlangsung selama lebih dua jam, sebanyak 21 lagu telah dipersembahkan kepada penonton.
Sebelum ini, Hafiz pernah menganjurkan siri konsert lain seperti Konsert Zikir Terapi di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2012, Stadium Tertutup Johor Bahru (2013), SPICE Arena PISA, Pulau Pinang (2014), Menara Kuala Lumpur (2015) serta Istana Budaya Kuala Lumpur (2015) susulan kejayaan album Zikir Terapi keluaran pertama yang berjaya terjual sebanyak 3.5 juta unit. – HIBGLAM