Meerqeen simpati nasib Faisal Halim

SINONIM dengan naskhah cinta yang menyerlahkan sisi romantis, hakikatnya Meerqeen turut mendambakan karakter sarat cabaran, sekali gus mencungkil kelebihan lain dirinya.

Ibarat bulan jatuh ke riba, pelawaan 4ward Pictures Sdn. Bhd. membintangi Harimau Malaya: The Untold Journey selaku pemain bola sepak kebangsaan sebagai sesuatu yang tidak mungkin ditolak, apatah lagi bekerja di bawah arahan sutradara, Datuk Afdlin Shauki.

Dipertanggungjawabkan karya bersandarkan kisah benar berkaitan arena sukan negara yang disuntik elemen emosi membuatkan pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu terus menyambar tawaran tersebut.

Tonjol emosi, stamina

Biar bermandi peluh beraksi di bawah terik mentari tengah padang, jejaka berusia 23 tahun yang sebelum ini bergelar model mengakui tidak takut kulit terbakar demi memberikan hasil terbaik.

“Berlakon filem berkaitan sukan terutama bola sepak yang menjadi kegemaran saya merupakan projek ditunggu-tunggu selama ini kerana dulu saya juga aktif bersukan.

“Awalnya gementar juga kerana Harimau Malaya: The Untold Journey merupakan sebuah kisah benar selain memerlukan saya berstamina tinggi bagi menonjolkan karakter pemain profesional.

“Lebih manis, selain berpeluang bekerja dengan sutradara hebat, saya juga dapat sepadang dengan Faisal Halim yang juga satu-satunya pemain kebangsaan yang memantapkan filem ini,” katanya kepada Pose. 

Berkongsi keperibadian penerima trofi Gol Terbaik Piala Asia di Qatar, Meerqeen mengakui Faisal sebagai seorang individu yang mudah didekati dan mempunyai sisi humor.

Meerqeen teruja bekerja di bawah arahan Afdlin Shauki yang diibaratkan sebagai seorang guru.

Katanya, walaupun Faisal muncul sebagai penampilan istimewa dalam filem yang bakal ditayangkan tahun ini, aura seorang bintang dapat dirasai semua di set penggambaran.

“Insiden disimbah asid yang menimpa Faisal mengejutkan saya kerana secara peribadi beliau sangat mudah didekati, mesra, kelakar selain pemain hebat di padang.

“Doa saya beliau cepat sembuh selain tiada lagi kejadian sebegini berlaku terutama jenayah yang mengakibatkan impak teruk sebegini,” katanya meluahkan kekesalan.

Berkongsi lanjut pengalaman latihan, akuinya selain menghabiskan masa di padang dia juga banyak memperuntukkan waktu senggang di gimnasium.

Senaman kardio dan berlari dijadikan asas supaya staminanya kekal bertenaga untuk berlari di tengah padang menggelecek bola.

“Memang peluh dan terik matahari jadi kawan baik sampai kulit muka mengelupas, bahkan saya juga berdepan kecederaan pada kaki.

“Biarlah ada yang kata tak takut ke wajah berbirat, bagi saya kepuasan serta hasil pengorbanan berpanas hujan ini berbaloi,” tambah jejaka kelahiran Ampang itu.

Gaduh mulut

Tidak berselindung, tekanan cuaca panas melampau membuatkan emosi semua pelakon turut terkesan.

Situasi tersebut katanya nyaris mengakibatkan pergaduhan fizikal sesama pelakon walaupun isu dihadapi terlampau kecil.

Dedah Meerqeen, akibat tidak puas hati dengan satu hal, dia dan seorang pelakon bertegang urat tetapi tiada insiden tumbuk menumbuk.

MENGGALAS peranan sebagai pemain bola sepak kebangsaan merupakan cabaran baru buat Meerqeen dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Filem itu dikatakan berat kerana sarat dengan emosi tambahan pula kerja penggambaran juga dijalankan dari pagi sehingga pagi keesokan harinya.

“Jujurnya, selain cedera pada bahagian buku lali pada hari terakhir penggambaran, saya juga perang mulut dengan seorang pelakon lain.

“Harimau Malaya mengumpulkan 22 lelaki dan semuanya ada ego masing-masing, ditambah berulang-kali melakukan adegan sama dalam cuaca terik, tentu cepat naik darah.

“Kami semua penat. Mana tidaknya, kami jalani penggambaran di padang itu selama lebih seminggu, namun ini semua pengalaman manis. Isu tersebut pun selesai pada hari sama,” ulasnya mengenang memori.

Menurutnya lagi, sebagai filem pertama lakonannya, naskhah terbabit mengembalikan kegilaan terhadap sukan.

“Saya sukakan sukan. Sejak dulu sampai sekarang, saya memang aktif dalam sukan balapan, olahraga, ragbi dan pelbagai lagi.

“Mungkin orang selalu nampak saya bawa watak romantis atau bukan pelakon lasak, tetapi Harimau Malaya menepis tanggapan sebegitu. Saya memang sedia galas karakter berbeza,” ujarnya.

Sementara itu, berkongsi pula mengenai dakwaan tidak cakna dengan isu Palestin, Meerqeen menjelaskan dia peka dengan situasi tersebut sejak 2022 lagi bahkan, sudah bersuara dalam media sosial tentang perkara ini.

Katanya, mungkin netizen tak sedar apa yang dilakukan selama ini bagi membantu saudara seagama di Gaza kerana menolong secara diam disebabkan enggan  menunjuk-nunjuk.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok