Mahu cuba kaedah IVF, ambil anak angkat – Marsha

SEBENARNYA sudah ada perancangan untuk buat IVF dari tahun lepas tetapi saya tiada masa lagi.”

Demikian perkongsian penyanyi Marsha Mila yang mahu mencuba kaedah rawatan kesuburan In-vitro (IVF) sebagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat selepas 10 tahun berkahwin.

Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 39, berkata, dia dan suami masih mencari waktu sesuai memandangkan proses rawatan tersebut menuntut masa yang panjang.

“Seperti semua sedia maklum kaedah ini memerlukan komitmen penuh dari segi waktu.

Perkara ini pun dah bincang dengan suami, dia setuju sahaja. Kami sudah berjumpa beberapa pakar sebelum ini, tinggal lagi cari waktu untuk lakukannya sahaja.

“Kalau nak cakap soal tarikh itu pun saya belum tahu, rawatan ini rumit apatah lagi untuk wanita kerana memerlukan rehat dalam jangka panjang, banyak benda saya kena fikir sebenarnya,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Darah itu, dia juga terbuka mengenai pengambilan anak angkat andai benar hidupnya ditakdirkan tiada rezeki zuriat meskipun suaminya menasihati agar tidak terlalu memikirkan perkara itu.

“Kalau Allah kata tunggu, kami perlu reda. Suami pula tidak bagi saya fikir terlalu jauh lebih-lebih lagi soal pengambilan anak angkat.

Saya tidak kisah mengambil anak angkat dan pernah terdetik untuk lakukan perkara tersebut jika tiada rezeki dapat zuriat sendiri.

“Suami pun tidak tergesa-gesa kerana kami pun belum tua sangat dan masih ada masa,” ujarnya.

Marsha mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada 2015. –

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok