AKTRES dan pengarah Ellie Suriaty mengesahkan bekas suaminya, aktor Azri Iskandar bakal berkahwin dengan kekasih dikenali sebagai Datuk Noora Kay tidak lama lagi.
Kata Ellie, 52, persiapan perkahwinan sedang dilakukan pasangan tersebut dan hanya menunggu hari untuk disatukan.
“Mereka akan melangsungkan perkahwinan dan saya kini sedang dalam proses membuat persiapan bagi mewakili pengantin lelaki.
Saya mahu dia hidup bahagia. Tujuan saya membantunya membuat persiapan perkahwinan memandangkan saya sudah berjanji dengan Allahyarham nenek Azri bahawa perkahwinan kami akan kekal hingga hujung nyawa.
“Namun, takdir sebaliknya buat kami apabila perkahwinan dibina hanya mampu bertahan selama 19 tahun,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui semalam.
Selain itu, Ellie membantu Azri membuat persiapan perkahwinan kerana ingin menyatakan hubungan mereka tetap berjalan dalam keadaan baik meski sudah berpisah.
Saya dahulu berjanji bahawa perkahwinan itu akan kekal sehingga ada salah seorang daripada kami meninggal dunia. Tetapi, qada dan qadar perkahwinan kami hanya sampai di sini.
“Saya tetap menjaga hubungan baik antara kami. Biarpun tidak mampu kekal hingga hujung nyawa, setidak-tidaknya saya sudah berjaya membantu Azri untuk mengecap kebahagian bersama pasangan baharunya,” kata Ellie.
Biarpun mengakui perkahwinan berkenaan akan berlangsung dalam masa terdekat, Ellie tidak menjelaskan secara terperinci tarikh dan lokasi majlis.
Namun apa yang pasti kata Ellie, majlis itu nanti tidak akan diadakan pada hujung minggu.
Mengenai jemputan majlis, saya biarkan Azri yang umumkan,” jelas pengarah telefilem Tulus Kasih itu.
Pada masa sama, Ellie mewakili Azri memohon maaf kepada wanita yang sebelum ini pernah menjalin hubungan dengan bekas suaminya itu namun terputus di tengah jalan.
“Saya tahu Azri mengenali ramai teman wanita sebelum ini, jadi andai ada yang berkecil hati dan kecewa, saya mewakilinya memohon maaf.
Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang melungkan masa dan perhatian. Saya tahu Azri ada berkata dia ingin berkahwin, jadi apabila menjalin hubungan kena tengok sesuai atau tidak.
“Azri bukan mungkir janji tetapi segala-galanya sudah tertulis. Semoga Azri berbahagia dengan keluarga baharunya nanti,” katanya.
Azri sebelum ini dikhabarkan bercinta dan bertunang dengan wanita dikenali sebagai Dr Azra Diera pada Jun tahun lalu.
Sebagai rekod, Azri dan Ellie berkahwin pada 2003 namun bercerai pada 17 Mei 2022. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Azrell Omar, 19 dan Nur Azreen, 14. – HIBGLAM